BENTONG: Kapten Malaysia Pro Cycling (MPC), Muhamad Zawawi Azman mengakui masih bertenaga selepas mengharungi dua peringkat perlumbaan membabitkan laluan pendakian mencabar di Cameron Highlands dan GAP secara berturut-turut sebelum ini.

Selepas perlumbaan Peringkat 3 yang berakhir di Cameron Highlands semalam dan hari ini mengharungi perlumbaan Peringkat 4 dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong dengan membabitkan pendakian panjang di GAP, Zawawi nyata boleh mempamerkan kayuhan yang positif biarpun mengalami kekejangan.

Zawawi yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-71 berkata, dia mengalami kejang di 10 kilometer terakhir namun itu sama sekali tidak mengganggunya untuk meneruskan saingan.

Perlumbaan Peringkat 5 esok dijadual bermula dari Kuala Lumpur ke Melaka dengan membabitkan satu lagi zon yang memerlukan kayuhan pendakian panjang di Bukit Hantu.

Selain Bukit Hantu, dua lagi zon pendakian adalah di Ampang dan Bukit Mantin manakala laluan sejauh 167.3 kilometer (km) itu turut menyaksikan tiga zon pecutan iaitu di Semenyih, Seremban dan Rembau.

“Memang hari ini sukar dan laju, ditambah pula dengan keadaan cuaca panas. Dari kilometer pertama sampai ke penghujung, memang saya memang nak beri yang terbaik terutama di kilometer 10 terakhir.

“Saya rasa seperti biasa kerana masih belum berpuashati (dengan keputusan) kerana dalam 10 kilometer terakhir saya mengalami kekejangan. Jadi memang saya tak boleh nak buat apa-apa.

“Apapun, tenaga masih OK. Semalam pun pendakian yang panjang, hari ini pun laju ditambah pula dengan pendakian panjang. Sedikit penat untuk badan namun saya harap dapat kembali pulih dengan segera,” kata Zawawi.

– Berita Harian