SEREMBAN: Selepas dua kali hanya menduduki tempat kedua, akhirnya kemenangan menjadi milik pelumba Human Powered Health, Sasha Weemaes apabila muncul juara peringkat ketujuh Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dari Muar ke Seremban 2 sejauh 123.8 kilometer (km).
Lebih manis ia adalah kemenangan profesional kedua buat pelumba kelahiran Belgium itu selepas kali terakhir pada lima tahun lalu di peringkat pertama A Travers Les Hauts De France Trophee Paris-Arras Tour.
Weemaes kali ini berjaya mengetepikan pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn yang menjadi penghalangnya sebanyak dua peringkat di Kuala Terengganu dan Melaka.
Tempat ketiga diraih pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa dengan ketiga-tiga mereka merakam catatan masa 2 jam 31 minit 45 saat (s) dalam penamat beramai-ramai.
Kali terakhir Human Powered Health merasai nikmat kejuaraan peringkat LTdL adalah pada 2018 melalui pelumba Kanada, Adam De Vos dan ia adalah kemenangan profesional kali ke 112 buat pasukan yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu.
“Saya sangat gembira hari ini, saya tidak menyerah kalah. Hari ini semuanya sempurna, saya berbangga dengan pasukan dan gembira
“Seperti semalam perlumbaan begitu pantas, sama juga hari ini, ada laluan naik dan turun. Saya rasa sangat bagus.
“Ia penamat musim yang baik selepas beraksi buruk sepanjang tahun, banyak berkaitan masalah kesihatan saya hadapi, kemenangan ini sangat bermakna buat saya dan juga pasukan,” kata pelumba Weemaes yang berusia 25 tahun.
Bagaimanapun, pelumba EF Education-Easypost, Simon Carr masih lagi mengekalkan Jersi Hijau (Pendahulu Keseluruhan) dengan catatan masa 26:05.14s, diikuti rakan-sepasukan, Jefferson Alexander Cepeda (49s) dan Pablo Castrillo dari Equipo Kern Pharma di kedudukan ketiga (58s).
De Kleijn pula masih mengekalkan Jersi Jingga (Raja Pecut) selepas mengumpul 63 mata, diikuti Weemaes 48 mata dan Syritsa di kedudukan ketiga (43 mata).
Rakan sepasukan De Kleijn, Simon Pellaud mengekalkan Jersi Polka Dot (Raja Bukit) selepas mengumpul 32 mata diikuti Carr, 20 mata dan Castrillo 13 mata.
Sementara itu Jersi Putih (Terbaik Asia) kekal milik pelumba Astana Qazaqstan Team, Vadim Pronskiy selepas mengumpul catatan masa 26:06.29s, diikuti pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Jambaljamts Sainbayar (26:08.33s), manakala wakil Roojai Online Insurance, Ariya Phounsavath di kedudukan ketiga (26:11.18s).
Peringkat terakhir esok akan bermula dari Setia Alam menuju ke ibu negara, Kuala Lumpur sejauh 156.5km.
– Harian Metro