LANGKAWI – Tunku Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehudin dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Che Puan Nur Julie Arif berkenan berangkat ke Majlis Pembukaan dan Pengenalan Pasukan PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 di Dataran Lang, di sini malam ini.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Tuan Adam Adli Abdul Halim; Exco Belia dan Sukan Kedah, Yang Berhormat Haji Radhi Mat Din serta Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Dato’ Mohd Salleh Saidin.
Hadir sama, Pegawai Daerah Langkawi, Mohd. Subhi Abdullah; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Haji Abdul Rashid Yaakub; Pengurus Besar Perhubungan Strategik Komunikasi Digital, Bahagian Perhubungan Strategik dan Komunikasi, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Siti Safarina Amrita Alias dan Pemangku Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Mazlan Md Jail.
Majlis ini merupakan pembuka tirai kepada perlumbaan yang masuk edisi ke-28 pada tahun ini.
Selain dihiburkan dengan persembahan tradisional, para jemputan turut dipersembahkan dengan tayangan video mengenai perlumbaan basikal terunggul di benua Asia ini.
Seterusnya, para jemputan diperkenalkan kepada semua pasukan yang mengambil bahagian pada tahun ini.
LTdL 2024 yang akan membuka tirainya pada 29 September ini di Langkawi, menyaksikan penyertaan 22 pasukan dengan 132 pelumba, yang mana tiga daripadanya merupakan pasukan World Team.
Perlumbaan ini akan melalui tujuh lagi lokasi di Semenanjung dan Sarawak.
Selain kejuaraan keseluruhan, para pelumba turut bersaing untuk merebut gelaran yang membawa maksud tersendiri seperti Raja Bukit, Pelumba Terbaik dan Pelumba Terbaik Asia.