KUALA LUMPUR: Sebanyak tiga pasukan berstatus ‘World Team’ akan menghangatkan perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang akan berlangsung dari 29 September hingga 6 Oktober ini.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub, berkata tiga pasukan itu adalah EF Education Easypost dari Amerika Syarikat, Astana Qazagstan (Kazakhstan) dan DSM Firminich PostNL (Belanda) sekali gus melengkapkan senarai 22 pasukan bakal bertanding pada edisi ke-28 perlumbaan berkenaan.
Katanya, kejayaan memikat tiga pasukan yang menempa nama di Tour de France tahun ini adalah pencapaian membanggakan buat MSN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selaku penganjur selepas hanya dua penyertaan pasukan berstatus ‘World Team’ pada edisi tahun lalu.
“Pelumba DSM Firmenich PostNL, Romain Bardet dan Frank van den Broek, memenangi dua tempat teratas pada peringkat pertama Tour de France tahun ini.
“Pelumba EF Education Easypost, Richard Carapaz pula berjaya menguasai jersi kuning pendahulu keseluruhan selepas peringkat ketiga, memenangi Peringkat ke-17 dan merangkul kategori Raja Bukit Tour de France.
“Pelumba berpengalaman Astana Qazaqstan, Mark Cavendish muncul pemenang perlumbaan peringkat kelima,” katanya ketika sidang media pengumuman pasukan bertanding di sini, hari ini.
Menurut Abdul Rashid, tujuh pasukan daripada kategori ‘Pro Team’ dalam senarai Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) turut mengesahkan penyertaan sekali gus membolehkan LTdL 2024 memenuhi syarat penganjuran perlumbaan berstatus Pro Series di luar Eropah.
Katanya, lima pasukan Pro Team itu – Polti Kometa (Sepanyol), Tudor Pro Cycling (Switzerland), VF Group-Bardiani CSF- Faizane (Itali), Equipo Kern Pharma (Sepanyol) dan Euskaltel-Euskadi (Sepanyol) – kini berstatus ‘Grand Tour Pro Team’ dan dijemput bertanding dalam beberapa perlumbaan utama dunia seperti Giro de Italia dan Vuelta
Espana 2024.
“Tiga pasukan Malaysia juga akan bertanding pada LTdL 2024 iaitu Pasukan Kebangsaan Malaysia, Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Pro Cycling (MPC) dengan keseluruhan 12 pelumba negara berpeluang bersaing dengan pelumba handalan dunia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi LTdL 2024, Emir Abdul Jalil mengumumkan bahawa pendakian Bukit Fraser yang sepatutnya menggantikan pendakian Genting Highlands tidak dapat diadakan berikutan arahan yang dikeluarkan UCI.
“UCI mengarahkan bahawa tidak ada laluan menuruni bukit yang curam berikutan kemalangan baru-baru ini membabitkan kematian pelumba Coop Repsol di Tour Austria. Jadi kita hanya bermula dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong pada peringkat keempat.
“Mereka (UCI) menasihatkan kita agar cuba mengelakkan benda ini (menuruni bukit curam) berikutan kemalangan yang bukan sahaja berlaku di Austria tapi juga di Perancis membabitkan pelumba secara beramai-ramai,” katanya.
Pelumba kelahiran Norway berusia 25 tahun Andre Drege meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan menuruni bukit dalam kelajuan tinggi sehingga memaksa perlumbaan peringkat akhir Tour Austria terpaksa dibatalkan dan diganti dengan kayuhan yang didedikasikan kepada mendiang.
– BH Online