Kuala Terengganu: Kerajaan negeri tetap komited bagi menjayakan perlumbaan berprestij dalam negara, Le Tour de Langkawi (LTdL) yang dijangka bakal berlangsung pada 23 hingga 30 September depan.
Keyakinan itu disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri yang baharu, Hishamuddin Abdul Karim ketika ditemui pada hari ini.
Jelas beliau, kerajaan negeri akan memberikan sokongan dan kerjasama bagi memastikan perlumbaan terkenal itu berjalan dengan lancar lebih-lebih lagi Terengganu bakal menjadi laluan pertama kejohanan itu.
“Buat masa ini proses perjalanan LTdL berjalan dengan lancar, malah saya difahamkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh akan hadir ke Terengganu untuk berjumpa dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berhubung kejohanan itu.
“Selanjutnya kita akan ikut perjalanan yang diatur oleh pihak pengurusan LTdL,
Terengganu akan menjadi destinasi pertama perlumbaan berprestij itu nanti,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan kejohanan Basikal Lasak PTT Jamborace & Funrace di Wisma Darul Iman, petang ini.
Kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM100,000 itu dibahagikan kepada 10 kategori berumur 12 tahun ke atas.
LTdL 2023 kali ini membabitkan lapan peringkat, bermula di Kerteh, Terengganu sebelum kemuncaknya berakhir di Kuala Lumpur dengan setakat ini membabitkan penyertaan minimum tiga pasukan Dunia (UCI WorldTeam), tujuh pasukan Pro (UCI ProTeam), 11 pasukan benua (UCI Continental) dan satu pasukan kebangsaan Malaysia.
Bagaimanapun Pulau Langkawi tidak tersenarai dalam laluan LTdL yang kembali berada dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu.
– Harian Metro