KUALA LUMPUR: Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 tetap mempunyai cabaran yang tinggi meskipun tanpa peringkat perlumbaan mencabar di Genting Highlands.

Untuk edisi ke-28 ini, pendakian ke Genting Highlands ditukar dengan laluan dari Taiping ke Cameron Highlands sejauh 170.3 kilometer (km), membabitkan tiga zon pendakian iaitu di Kuala Kangsar, Kampung Raja dan Brinchang.

Bagi bekas pelumba negara, Loh Sea Keong, dia sudah merasai saingan tanpa pendakian ke Genting Highlands dan tetap merasakan ‘kehangatan’ LTdL.

“Waktu saya mewakili skuad kebangsaan sebelum ini pun, banyak kali tiada pendakian ke Genting Highlands dan saingan menjadi terbuka kerana pasukan WorldTeam tetap akan memberikan persembahan terbaik untuk mengukuhkan status mereka,” kata Sea Keong.

Sea Keong yang kali terakhir menyertai LTdL pada 2018 – yang turut berlangsung di Cameron Highlands – berkata, pasukan Asia juga sudah tentunya mahu merebut kedudukan dalam kelompok tiga terbaik Asia sekali gus menjadikan saingan menjadi sengit.

“Perlumbaan masih ada keseronokannya dan debaran yang seperti biasa. Kebiasaan Cameron Highlands akan menjadi penentu, jika tiada pendakian Genting Highlands, cuma jurang masa pendahulu dengan yang lain itu tidak besar.

“Pelumba yang merebut mendapatkan GC (klasifikasi keseluruhan) akan lebih ramai berbanding mereka yang menguasai Genting Highlands, tertumpu kepada dua atau tiga pelumba sahaja,” katanya yang sudah 12 kali menyertai LTdL dengan penampilan sulungnya di perlumbaan berprestij Asia itu pada 2006.

– Berita Harian