BUTTERWORTH: Nasib kurang baik dialami skuad berbasikal lebuhraya kebangsaan apabila mungkin terpaksa melupakan khidmat pakar pecut mereka, Mohd Elmi Jumari apabila terbabit dalam satu kemalangan pada Peringkat 2 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024, hari ini.
Perlumbaan dari Arau ke Butterworth yang menelurusi laluan landai itu berlangsung dengan baik namun situasi menjadi ‘genting’ pada baki 100 meter (m) terakhir perlumbaan menuju ke garisan penamat.
Dalam satu rakaman orang awam, Elmi, 34, yang juga kapten pasukan dilihat terduduk, memegang tangannya sambil menahan kesakitan.
Begitupun, jurulatih kebangsaan, Mohd Yusof Nasir sejurus perlumbaan tamat berkata, dia akan mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan Elmi yang difahamkan kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.
“Staf pasukan beritahu bahawa keadaannya membimbangkan dan kami berkemungkinan akan kehilangannya untuk peringkat perlumbaan seterusnya,” kata Yusof ketika ditemui media.
“Sedikit sebanyak akan mengganggu perancangan pasukan tapi masih boleh diperbaiki dan pasukan Malaysia masih boleh hasilkan keputusan yang baik.
“Cuma kami perlu berusaha lagi untuk peringkat seterusnya.”
Saingan Peringkat 3 esok bakal membabitkan laluan sejauh 170.3 kilometer (km) dari Taiping ke Cameron Highlands membabitkan tiga zon pecutan dan tiga zon pendakian.
Saingan bakal menyaksikan zon pendakian bermula seawal kilometer 17.3 di Kuala Kangsar sebelum perlu mengharungi tiga zon pecutan di Kuala Kangsar kilometer 29), Sungai Siput (kilometer 52.7) dan Ipoh (kilometer 77.3).
Dua zon pendakian terakhir adalah di Kg Raja pada kilometer 137.8 dan Brinchang yang berstatus Hors Categorie (HC) di kilometer 161.9.
– Berita Harian