KUALA LUMPUR: Percaturan membawa lima pakar pendakian ke Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 nyata berhasil buat pasukan EF Education-EasyPost apabila pelumbanya, Simon Carr disarung Jersi Hijau selaku juara keseluruhan bagi edisi ke-27, hari ini.
Pelumba dari Great Britain itu merumuskan LTdL 2023 di Menara Berkembar PETRONAS dengan catatan keseluruhan 29 jam 17 minit 41 saat (s) selepas berjaya menakluk Peringkat 5 dari Slim River ke Genting Highlands, Rabu lalu.
Berada di kedudukan kedua keseluruhan adalah rakan sepasukannya, Jefferson Alexander Cepeda yang ketinggalan 49s di belakang manakala pelumba, Equipo Kern Pharma, Pablo Castrillo, ketiga (+58s).
Kejayaan Carr secara tidak langsung menebuskan kekecewaan pasukan tahun lalu, yang menyaksikan mereka berada di kedudukan kedua keseluruhan menerusi pelumba Hugh Carthy yang tewas di tangan wakil Movistar Team, Ivan Sosa.
Untuk rekod, tahun ini pasukan membariskan lima pakar pendakian iaitu Carr, Cepeda, Odd Christian Eiking, Michael Valgren dan Jardi Christiaan van der Lee selain seorang pakar ujian masa individu, Tom Scully.
Pada perlumbaan Peringkat 8 dari Setia Alam ke Kuala Lumpur sejauh 156.5km hari ini, pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa muncul pemenang selepas menemui garisan penamat secara beramai-ramai dengan catatan 3:12:27s manakala Daniel Babor (Caja Rural-Seguros RGA) di kedudukan kedua dan Arvid de Kleijn (Tudor Pro Cycling Team) ketiga.
“Sudah pasti ia satu kejayaan besar. Saya harap keluarga yang menonton lebih gembira dan in satu pencapaian besar buat saya… minggu yang baik. Saya harap boleh kembali lagi tahun depan atau di masa akan datang,” kata Carr yang menamatkan perlumbaan Peringkat 8 di tempat ke-62 daripada 110 pelumba.
Di sebalik kejayaan EF Education-EasyPost, pasukan Tudor Pro Cycling Team juga boleh pulang gembira apabila membolot dua gelaran iaitu Raja Pecut dan Raja Bukit masing-masing menerusi pelumbanya Arvid de Kleijn dan Simon Pellaud.
Arvid yang menawan dua perlumbaan di Peringkat 1 dan 2, meraih gelaran Raja Pecut dengan mengumpul 72 mata keseluruhan manakala Syritsa berada di kedudukan kedua, 58 mata dan Sasha Weemases (Human Powered Health) ketiga, 55 mata.
Jersi Polka Dot pula diraih Pellaud selepas mengumpul 32 mata keseluruhan manakala Carr berada di kedudukan kedua, 20 mata dan Pablo Castrillo (Equipo Kern Pharma) ketiga, 13 mata.
Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia pula menjadi pelumba Astana Qazaqstan Team, Vadim Pronskiy dengan catatan masa 26:06:29s manakala pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Jambaljamts Sainbayar di kedudukan kedua.
– Berita Harian