LANGKAWI: Perlumbaan sokongan sempena Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024, Domestique berlangsung dengan meriah pagi tadi dan memberi suntikan semangat buat pasukan benua negara, Terengganu Cycling Team (TSG) apabila pelumba akademi mereka mengungguli kategori terbuka.
TSG yang turut menjadi tumpuan dalam perlumbaan sebenar bermula esok, mempertaruhkan pelumba muda sedang meningkat naik dan juara menjadi milik Saniy Syahmi Safiee.
Menurut pelumba berusia 23 tahun itu, dia sangat berpuas hati berjaya meraih tempat pertama dan berpeluang terlebih dahulu merasai laluan peringkat pertama LTdL 2024.
“Terima kasih kepada rakan sepasukan yang banyak membantu dan saya rasa laluan hari ini semuanya dalam keadaan baik. Saya menjangkakan pada perlumbaan sebenar esok membabitkan senior saya sudah pasti berlangsung lebih pantas,” katanya.
Ujar Saniy Syahmi dia memang dari awal meletakkan sasaran untuk muncul juara perlumbaan yang julang kali diadakan itu walaupun mereka mendapat tentangan daripada beberapa pasukan amatur lain.
“Saya hanya memberi tumpuan kepada pencabar saya sahaja walaupun perlumbaan ini bercampur pelbagai kategori,” katanya.
Saniy Syahmi yang meletakkan sasaran untuk menyertai skuad utama TSG tiba di garisan penamat dengan catatan masa dua jam 16 minit 48 saat (s), manakala tempat kedua diraih Iskandariah Medina Hisham (2:16.48s) dan ketiga milik seorang lagi pelumba Akademi TSG, Faisal Izuddin Ahmad Joyo (2:17.00s).
Turut mencuri tumpuan dalam perlumbaan amatur itu ialah kehadiran pelakon terkenal, Amar Baharin yang tidak melepaskan peluang mengambil bahagian di pulau legenda bersama rakan-rakannya.
“Pengalaman hari ini sangata sukar di mana kami berkayuh bersama-sama pelumba muda dan bekas profesional. Apa pun ia satu kenangan yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila. Ia juga satu pendedahan baik buat kami meningkatkan lagi teknik kayuhan.
“Kenangan yang menarik buat saya di sini kerana sambil berlumba datang bercuti beramai-ramai dengan kawan dengan menaiki bas,” katanya.
Tambah pelakon filem Tanda Putera (2013) dan Seratus (2022) itu Domestique boleh menjadi perlumbaan sokongan sama seperti L’Etape untuk Tour de France dan menarik perhatian lebih ramai lagi pelumba amatur.
Domestique sebuah perlumbaan untuk pengayuh amatur merasai laluan sebenar perlumbaan LTdL peringkat pertama sejauh 96.5 kilometer (km) di Pulau Langkawi.
– Harian Metro