GENTING HIGHLANDS: Pemenang Jersi Putih Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 dari pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Jambaljamts Sainbayar belum menyerah kalah apabila tekad melakukan henjutan terakhir dalam baki tiga perlumbaan, bermula esok.
Sainbayar yang membuat penampilan keduanya pada perlumbaan berstatus ProSeries itu mengakui akan tampil dengan strategi berbeza untuk mempertahankan gelaran pelumba Terbaik Asia pada LTdL 2023.
Pada perlumbaan peringkat kelima dari Slim River ke Genting Highlands, hari ini, Sainbayar cuba untuk merampas Jersi Putih itu, namun dia gagal menandingi kehebatan pasukan WorldTeam, Astana Qazaqstan Team yang mempertaruhkan Vadim Pronskiy.
Menjadi pelumba kelima melintasi garisan penamat membolehkan Pronskiy merampas Jersi Putih dari pelumba Thailand Continental Cycling Team, Ratchanon Yaowarat, sekali gus mendahului carta perebutan dengan catatan 19 jam 26 minit 25 saat (s).
Sainbayar kini di kedudukan kedua selepas hanya ketinggalan dua minit 15 saat (s).
Pelumba berusia 27 tahun dari Mongolia itu berkata, dia akan cuba melakukan ‘breakaway’ dalam baki perlumbaan yang kini semakin hampir menuju ke penghujung.
“Hari ini adalah peringkat perlumbaan yang sukar dan pada enam kilometer (km) terakhir, pelumba hadapan saya mula melakukan henjutan. Saya hanya kekal dengan kelajuan sendiri.
“Mungkin saya kehilangan beberapa minit di belakang dan cuba mengejar, tetapi mereka sangat kuat.
“Jadi, saya akan cuba lakukan yang terbaik pada baki tiga peringkat perlumbaan bermula esok.
“Saya akan lihat situasi perlumbaan esok dan cuba berjuang terutama untuk melakukan breakaway bagi memastikan peluang untuk mengejar Jersi Putih mampu direalisasikan. Saya tak akan putus asa,” katanya.
Perlumbaan peringkat keenam esok akan bermula dari Karak dan berakhir di Melaka sejauh 174.5km.
Selepas itu, 22 pasukan akan meneruskan perjuangan mereka pada perlumbaan peringkat ketujuh di Muar-Seremban (123.8km) dan seterusnya perlumbaan penutup akan bermula di Setia Alam dan berakhir di Kuala Lumpur dengan jarak 156.5km pada Ahad.
– Harian Metro