GENTING HIGHLANDS: Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Jambaljamts Sainbayar percaya peluang masih terbuka bagi mempertahankan Jersi Putih Le Tour de Langkawi (LTdL) disandangnya tahun lalu tatkala saingan 2023 semakin hampir ke penghujungnya.
Ketika baki edisi ke-27 hanya berbaki tiga perlumbaan sahaja lagi, Sainbayar bertekad untuk memanfaatkan peluang yang ada selepas tidak berupaya menandingi kekuatan pelumba WorldTeam, Astana Qazaqstan Team, Vadim Pronskiy pada Peringkat 5 dari Slim River ke Genting Highlands hari ini.
Pelumba berusia 27 tahun itu berusaha untuk mendapatkan Jersi Putih namun Prinskiy nyata lebih mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menemui garisan penamat di tempat kelima manakala dirinya, ke-17.
Justeru katanya, dia perlu mengatur strategi berbeza dan cuba melakukan ‘breakaway’ pada perlumbaan Peringkat 6 dari Karak ke Melaka sejauh 174.5 kilometer (km) hari ini.
“Hari ini adalah peringkat perlumbaan yang sukar dan pada 6 kilometer terakhir, pelumba di hadapan saya mula melakukan henjutan. Saya hanya kekal dengan kelajuan sendiri.
“Mungkin saya kehilangan beberapa minit di belakang dan saya cuba mengejar tetapi mereka kuat. Saya cuba meningkatkan kelajuan tetapi mereka lebih laju. Oleh itu, saya akan cuba melakukan yang terbaik pada tiga peringkat perlumbaan bermula esok.
“Saya akan melihat situasi perlumbaan esok dan cuba berjuang terutama untuk melakukan breakaway bagi memastikan peluang mengejar Jersi Putih boleh direalisasikan. Saya tak akan berputus asa,” katanya.
Selepas berakhirnya perlumbaan Peringkat 5, Pronskiy mendahului kedudukan Jersi Putih dengan 19 jam 26 minit 25 saat (s) manakala Jambaljamts di tempat kedua, 19:28:40s dan Ariya Phounsavath (Roojai Online Insurance) ketiga, 19:31:14s.
– Berita Harian