KUALA LUMPUR: Penyandang Jersi Putih Le Tour de Langkawi (LTdL) dari pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Jambaljamts Sainbayar ada misi untuk mempertahankan gelaran Pelumba Terbaik Asia selain mahu mencabar Jersi Kuning bagi edisi 2023 yang bakal membuka tirainya pada 23 September ini.
Sainbayar yang bakal membuat penampilan keduanya pada kali ini berkata, dia dan pasukan bermotivasi untuk mencabar kedua-dua jersi itu meskipun sedar cabaran kali ini dilihat mungkin berbeza berbanding tahun lalu.
Pelumba berusia 27 tahun dari Mongolia itu berkata, motivasinya dan pasukan turut bertambah dengan dua peringkat awal perlumbaan bakal mengharungi laluan di Terengganu – yang menjadi pangkalan pasukan buat TSG.
“Secara peribadi, saya nak pertahan jersi Asia (Jersi Putih). Rakan sepasukan dan pasukan (pada tahun lalu) banyak membantu dan ia menyeronokkan. Tahun ini, kami akan bersaing untuk Jersi Putih dan Kuning. Kami akan melakukan yang terbaik,” kata Sainbayar kepada media selepas majlis penajaan LTdL 2023 di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.
Pada majlis berkenaan, Kerajaan Negeri Terengganu muncul sebagai satu daripada penaja utama bagi LTdL 2023 dengan nilai tajaan RM800,000 termasuk menaja Jersi Putih.
Untuk edisi kali ini, 22 pasukan sudah mengesahkan penyertaan iaitu dua pasukan berstatus WorldTeam (WT), lapan pasukan ProTeam (PT), 11 pasukan benua dan pasukan kebangsaan Malaysia.
Mengulas mengenai penyertaan kali ini, Sainbayar berkata: “Walaupun tahun ini hanya dua pasukan WorldTeam berbanding tahun lalu enam. Saingannya akan jadi lebih kurang tetapi akan tetap sengit.”
Selain Sainbayar, TSG bagi edisi kali ini bakal membariskan pelumbanya iaitu Jeroen Meijers, Harrif Salleh, Nur Aiman Zarif, Youcef Reguigui serta Nur Amirull Fakruddin Mazuki.
– Berita Harian