KUALA LUMPUR: Pelumba pasukan kebangsaan, Tsen Ren Bao mengakui cukup teruja untuk tampil kali pertama di perlumbaan berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) yang bakal berlangsung dari 29 September hingga 6 Oktober nanti.

Anak kepada legenda berbasikal lebuh raya negara, Tsen Seong Hoong itu berkata, ia adalah detik cukup dinanti-nantikan sepanjang kariernya dan satu penghormatan dapat mewakili Malaysia.

“Dalam masa lima hari lagi, saya akan berada di garisan permulaan mewakili Malaysia di Le Tour de Langkawi, perlumbaan yang saya impikan sejak mula terbabit dengan sukan dua roda ini.

“Acara ini mempunyai tempat istimewa dalam hati saya yang terjalin dalam sejarah keluarga saya.

“Apabila saya mengenakan jersi kebangsaan, ia mengingatkan saya mengenai dedikasi yang diperlukan untuk mewakili negara. Saya akan memberikan segala-galanya untuk negara dan pasukan saya,” katanya menerusi hantaran di media sosialnya.

Bapa Ren Bao, Seong Hoong cukup disegani dalam sukan berbasikal dan pernah membawa nama Malaysia sebanyak lapan kali di LTdL.

Malah, beliau pernah memenangi pingat emas untuk Malaysia semasa Sukan Sea 1995 di Thailand.

Perlumbaan LTdL 2024 yang memasuki edisi ke-28 tahun ini membabitkan lapan peringkat merangkumi laluan sejauh 1,227.2 kilometer (km).

Pulau Langkawi kembali tersenarai dalam laluan edisi kali ini yang turut menyaksikan dua peringkat perlumbaan julung-julung kalinya bakal dilangsungkan di dua bandar di Sarawak iaitu Miri dan Bintulu.

– Harian Metro