CAMERON HIGHLANDS: Pelumba Team dsm-firmenich PostNL, Max Poole menawan perlumbaan Peringkat 3 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dari Taiping ke Cameron Highlands yang menyaksikan pertarungan sengit antara pakar pendakian, hari ini.
Poole, 21, menamatkan perlumbaan ‘Queen Stage’ sejauh 170.3 kilometer (km) itu dengan masa empat jam 24 minit dan 34 saat (s) diikuti Harold Martin Lopez (Astana Qazaqstan Team) dan ketiga, Thomas Pesenti (JCL Team UKYO).
Ia adalah kemenangan peringkat pertama buat pelumba dari Great Britain itu musim ini dengan kejayaan utamanya adalah muncul juara bagi klasifikasi remaja di Vuelta a Burgos, Ogos lalu.
Poole berkata, dia dikelilingi ramai pakar pendakian hebat ketika menuju ke garisan penamat namun mengambil pendekatan untuk terus menunggu waktu sesuai sebelum melakukan henjutan.
“Ramai yang bagus (dalam pendakian) berada berdekatan saya. Saya cuba untuk menyelesaikan tugas ini dengan melakukan henjutan ketika memecut menuju ke garisan penamat. Ia berlangsung dengan baik. Gembira mendapatkan kemenangan pertama di sini,” katanya.
Selepas tiga peringkat perlumbaan, Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan yang dipegang pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa kini dirampas Poole dengan catatan 10:03:58s.
Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia turut beralih tangan apabila kini menjadi milik Manabu Ishibashi dari pasukan JCL Team UKYO dengan catatan 10:06:07s dari Nur Aiman Rosli (Terengganu Cycling Team) sebelum ini.
Jersi Jingga selaku Raja Pecut turut menyaksikan pertukaran apabila kini disandang Matteo Malucelli dari pasukan JCL Team UKYO dengan mengumpul 22 mata.
Jersi Polka Dot selaku Raja Bukit pula kini disandang Poole dengan 15 mata manakala dua pelumba Astana Qazaqstan, Anthon Charmig dan Harold Martin masing-masing di tempat kedua dan ketiga masing-masing dengan 12 dan 11 mata.
Pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Muhammad Syawal Mazlin dalam pada itu melunaskan janjinya untuk mempersembahkan kayuhan terbaik di tempat kelahirannya apabila muncul selaku pelumba terbaik Malaysia yang menemui garisan penamat.
Saingan Peringkat 4 LTdL 2024 esok bakal menelurusi laluan dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong membabitkan jarak 131.2km yang menawarkan tiga zon pecutan di Raub, Sungai Ruan dan Sungai Klau manakala hanya satu zon pendakian ditawarkan iaitu di GAP.
– Berita Harian