BINTULU: Pelumba Team dsm-firmenich PostNL, Max Poole semakin hampir untuk muncul juara keseluruhan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 selepas terselamat dalam perlumbaan paling panjang di peringkat ketujuh dari Miri ke Bintulu sejauh 199.3 kilometer (km).
Poole hari ini menamatkan perlumbaan dalam kelompok besar dengan menduduki tempat ke-51 dan mengekalkan Jersi Hijau dengan catatan masa keseluruhan 23 jam 20 minit 6 saat (s).
Juara hari ini menjadi milik pelumba JCL Team UKYO, Matteo Malucelli yang tiba di garisan penamat dengan catatan masa 4:18:3s mengetepikan dua pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn dan Maikel Zijlaard.
Dengan hanya berbaki satu sahaja peringkat esok, iaitu perlumbaan mengelilingi daerah Bintulu sejauh 147.5km, pelumba berusia 21 tahun itu semakin hampir mencipta sejarah sebagai juara termuda perlumbaan yang diperkenalkan sejak 1996 ini.
Menurut Poole, hanya berbaki satu perlumbaan sahaja lagi dan dia bersama rakan sepasukan cuba untuk mengekalkan jersi berkenaan seterusnya membolehkannya meraih juara keseluruhan.
“Kami akan menggunakan pendekatan yang sama untuk perlumbaan peringkat terakhir esok,” katanya yang dibezakan 13s dengan pencabar terdekatnya, Thomas Pesenti dari JCL Team UKYO.
Sementara itu pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn terus mengekalkan Jersi Jingga selaku Raja Pecut selepas mengumpul 66 mata dia dikejar oleh wakil JCL Team UKYO, Matteo Malucelli yang kurang satu mata sementara di kedudukan ketiga ialah Gleb Syritsa dari Astana Qazaqstan Team.
Pelumba BH-Burgos, Mario Aparicio juga semakin hampir untuk membawa pulang Jersi Polka Dot selaku Raja Bukit selepas mengumpul 27 mata diikuti Poole 22 mata dan Anthon Charmig dari Astana Qazaqstan Team (12 mata).
Manabu Ishibashi dari JCL Team UKYO kekal menyarung Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia dengan catatan 23:22:24s diikuti rakan sepasukan, Yuma Koishi (23:25:05s) dan Keigo Kusaba (Aisan Racing Team) di ketiga kedua, 23:25:09s.
Perlumbaan peringkat terakhir esok akan berlangsung di sekitar bandar Bintulu dengan jarak yang menawarkan tiga zon pecutan di Kem Batu 18, Lasar Kenyalang 1 dan Lasar Kenyalang 2.
– Harian Metro