CAMERON HIGHLANDS – Pelumba Team DSM-Firmenich PostNL, David Max Poole membuktikan kejaguhannya selaku Raja Bukit apabila mengungguli perlumbaan Peringkat 3 PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 pada Selasa.
Pada perlumbaan sejauh 170.3 kilometer (km) yang bermula dari Taiping, Perak ke Cameron Highlands itu, Poole melintasi garisan penamat terlebih dahulu berbanding 10 pencabar terdekatnya dengan catatan empat jam 24 minit 34 saat (s).
Pelumba Astana Qazaqstan Team, Harold Martin Lopez berada di tempat kedua manakala Thomas Pesenti yang mewakili JCL Team UKYO di tempat ketiga yang mana mereka turut merekodkan catatan sama.
Pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Muhammad Syawal Mazlin muncul selaku pelumba terbaik Malaysia pada peringkat kali ini apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-44 dengan catatan masa 4:29.17s.
“Saya dikelilingi ramai pakar pendakian yang hebat ketika menuju ke garisan penamat. Tetapi saya mengambil pendekatan untuk menunggu waktu sesuai sebelum melakukan pecutan terakhir.
“Saya cuba untuk menyelesaikan tugas ini dengan melakukan henjutan ketika memecut menuju ke garisan penamat, ia berlaku dengan baik. Saya gembira mendapatkan kemenangan pertama di sini,” kata Poole.
Kejayaan menawan puncak Cameron Highlands itu menyaksikan Poole merampas Jersi Hijau daripada pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa selaku pendahulu keseluruhan dengan catatan 10:03.58s – 0.05s dibezakan dengan Lopez.
“Dia (Poole) lebih hebat ketika melakukan pecutan. Tetapi saya tidak begitu risau, saya tetap gembira dengan kedudukan kedua ini. Ada banyak lagi peringkat yang akan kami harungi… mungkin kami boleh mendapat keputusan lebih baik selepas ini,” jelas Lopez.
Syritsa yang memenangi Peringkat 1 di Langkawi pada Ahad lalu terpaksa akur melepaskan status selaku pendahulu keseluruhan apabila hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat ke-90.
Selain Jersi Hijau, Poole – pelumba Great Britain berusia 21 tahun turut menyambar Jersi Polka Dot (Raja Bukit) apabila mengumpul 15 mata, diikuti dua pelumba Astana Qazaqstan Team, Anthon Charmig (12 mata) dan Lopez (11 mata).
Dalam pada itu, pelumba muda Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli terpaksa melepaskan status selaku pelumba Terbaik Asia kepada pelumba JCL Team UKYO, Manabu Ishibashi.
Sebelum ini, Aiman telah menyarung Jersi Putih dalam dua peringkat awal, namun pencapaiannya yang sekadar menduduki tempat ke-58 pada Peringkat 3 menyaksikan dia kehilangan status pelumba terbaik Asia.
Jersi Jingga selaku Raja Pecut pula bertukar milik kepada pelumba JCL Team UKYO, Matteo Malucelli yang memenangi Peringkat 2 dari Arau, Perlis ke Butterworth, Pulau Pinang pada Isnin.
Selepas tiga peringkat, Malucelli mengumpul 22 mata, bagi meninggalkan pemilik jersi sebelum ini, Syritsa yang merekodkan 20 mata, manakala pelumba Team Polti Kometa, Manuel Penalver dengan 17 mata.Pasukan Equipo Kern Pharma kini muncul selaku pendahulu keseluruhan apabila merekodkan masa 30:12.27s diikuti Astana Qazaqstan Team (30:13.58s) dan Team Polti Kometa (30:14.07s)
Bagi kategori Asia, pasukan JCL Team UKYO muncul pendahulu dengan catatan keseluruhan 30:14.25s diikuti TSG (30:27.37s) dan MPC (30:34.04s).
Peringkat 4 pada Rabu yang bermula dari Kuala Kubu Bharu, Selangor ke Bentong, Pahang dengan jarak sejauh 131.2km, bakal menyajikan tiga zon pecutan di Raub, Sungai Ruan dan Sungai Klau, manakala satu zon pendakian di GAP.