BINTULU: Perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 bakal melengkapkan saingan esok di Bintulu dengan pelumba Team dsm-firmenich PostNL, Max Poole kini hanya selangkah lagi untuk muncul juara keseluruhan bagi edisi ke-28 ini.
Biarpun tidak berada dalam kelompok 10 terbaik yang menemui garisan penamat Peringkat 7 dari Miri ke Bintulu hari ini namun Poole masih kekal menyarung Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan dengan catatan 23 jam 20 minit dan 06 saat (s).
Poole, 21, mendahului klasifikasi keseluruhan dengan kelebihan 13s di depan pencabarnya dari pasukan JCL Team UKYO, Thomas Pesenti manakala Unai Iribar (Equipo Kern Pharma) di kedudukan ketiga dengan jurang 20s ketika perlumbaan esok hanya membabitkan laluan landai sejauh 147.5 kilometer di sekitar Bintulu.
Biarpun begitu, Poole yang meraih kemenangan di Peringkat 3 dengan menawan puncak pendakian di Cameron Highlands tetap enggan terlalu selesa dalam usahanya bersama pasukan untuk mengekalkan jersi berkenaan.
“Masih ada satu hari lagi dan apa sahaja boleh berlaku. Kami akan menggunakan pendekatan sama dan cuba membawa gelaran ini pulang,” kata Poole yang berasal dari Great Britain itu.
Perlumbaan Peringkat 7 sejauh 199.3km menyaksikan Matteo Malucelli dari pasukan JCL Team UKYO terlebih dahulu menemui garisan penamat dengan catatan 4:18:03s manakala Arvid de Kleijn (Tudor Pro Cycling Team), di tempat kedua dan rakan sepasukannya, Maikel Zijlaard ketiga.
Ia adalah kemenangan kedua buat pakar pecut berkenaan di LTdL 2024 selepas dirinya meraih kemenangn di Peringkat 2 dari Arau ke Butterworth, 30 September lalu.
“Kemenangan yang baik. Kebiasaannya satu kemenangan mungkin dianggap sebagai nasib tetapi secara keseluruhannya persaingan sangat sengit,” kata Malucelli.
Sementara itu, De Kleijn terus mengekalkan Jersi Jingga selaku Raja Pecut selepas mengumpul 66 mata, diekori Malucelli 65 mata dan Gleb Syritsa dari pasukan Astana Qazaqstan Team, 48 mata.
Mario Aparicio yang mewakili pasukan BH Burgos secara matematiknya hampir pasti meraih gelaran Raja Bukit apabila mengumpul 27 mata pada ketika perlumbaan esok tidak menawarkan sebarang zon pendakian.
Mengekori Aparicio di kedudukan kedua adalah Poole dengan 22 mata manakala di kedudukan ketiga adalah Anthon Charmig (Astana Qazaqstan Team), 12 mata.
Manabu Ishibashi dari JCL Team UKYO kekal menyarung Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia dengan catatan 16:35:22s diikuti Keigo Kusaba (Aisan Racing Team) di tempat kedua, 16:37:59s.
– Berita Harian