BINTULU: Pelumba Team dsm-firmnenich PostNL, Max Poole seperti dijangka muncul juara keseluruhan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 di kala pelumba JCL Team UKYO, Matteo Malucelli melakukan ‘pecutan saat akhir’ untuk merampas Jersi Jingga selaku Raja Pecut dari tangan pesaingnya Arvid de Kleijn (Tudor Pro Cycling Team).
Poole berjaya mengekalkan Jersi Hijau sejak dari Peringkat 3 dari Taiping ke Cameron Highlands sehingga ke peringkat kelapan yang juga kemuncak bagi edisi ke-28 di Bintulu, hari ini.
Malah, kemenangan itu turut meletakkan nama Poole selaku juara keseluruhan termuda berusia 21 tahun sejak perlumbaan berstatus 2.Pro itu dianjurkan pada 1996, mengenepikan rekod usia 22 tahun yang disandang Yonathan Monsalve dari Androni Giocattoli Serramenti PVC Diquigiovann pada 2011.
Pelumba Great Britain itu muncul juara keseluruhan dengan mencatat masa 26 jam 27 minit 44 saat (s) sepanjang lapan peringkat dan mengetepikan pencabar terdekat dari JCL Team UKYO, Thomas Pesenti yang ketinggalan 0:13s.
Lebih manis, kejayaan itu juga menyaksikan dia berjaya menyarung Jersi Jingga untuk dinobatkan selaku Raja Pecut selepas bersaing sengit dengan De Kleijn yang menamatkan saingan di kedudukan kedua.
Malucelli yang meraih tiga kemenangan peringkat pada edisi kali ini mengumpul 80 mata, berkelebihan dua mata dari De Kleijn manakala kedudukan ketiga menjadi milik Syritsa, 57 mata.
Poole yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-35 hari ini berkata, semuanya seakan sempurna buat dirinya dan pasukan terutama selepas memenangi Peringkat 3 di puncak Cameron Highlands.
“Sedikit terkilan, prestasi saya semakin menurun apabila kami kehilangan seorang pelumba (Johan Dorussen). Jadi sedikit sukar untuk kami hendak melakar strategi. “Apapun, semua melakukan tugas masing-masing dengan sebaiknya,” kata Poole yang pernah menaiki podium sebanyak empat kali di Vuelta Espana tahun ini.
Dalam pada itu, Jersi Polka Dot selaku Raja Bukit menjadi milik pelumba BH Burgos, Mario Aparicio selepas mengumpul 27 mata diikuti Poole, 22 mata dan Anthon Charmig dari Astana Qazaqstan Team (12 mata).
Rakan sepasukan Malucelli, Manabu Ishibashi pula meraih Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia dengan catatan keseluruhan 26:30:02s diikuti seorang lagi rakan sepasukannya, Yuma Koishi 2:41s dan kedudukan ketiga diisi Keigo Kusaba (Aisan Racing Team) 2:45s.
Dalam pada itu, Malaysia Pro Cyling (MPC) mengukir senyuman buat peminat sukan berbasikal apabila berjaya muncul selaku pasukan ketiga terbaik Asia pada penampilan sulung di perlumbaan berkenaan dengan mengumpul 79:58:46s.
– Berita Harian