KUALA LUMPUR: Sembilan hari sebelum tirai perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 membuka tirai, Syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mengumumkan mengikat penajaan selaku Penaja Perdana (penaja utama) selama tiga tahun.
Nyata kehadiran Petronas melega penganjur, Majlis Sukan Negara (MSN) yang sebelum ini mengakui memerlukan sokongan bagi menjayakan perlumbaan berstatus ProSeries itu.
Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh enggan mendedahkan nilai tajaan itu pada majlis memperkenalkan penajaan, hari ini.
Beliau berkata, jumlah peruntukkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di peringkat awal hanyalah RM8 juta dan sebagai penganjur, MSN memerlukan bajet lebih besar iaitu sekitar RM15 hingga RM16 juta untuk menjayakan perlumbaan kelas dunia itu.
“KBS berasa bangga dan ingin mengucapkan terima kasih kepada Petronas atas kesudian sebagai penaja perdana.
“Kehadiran Petronas itu amat dialu-alukan kerana situasi sukar untuk menganjurkan LTdL dengan kualiti berkelas dunia pada peringkat awalnya, kini bukan lagi satu misi yang mustahil,” katanya.
Kesudian Petronas sebagai penaja perdana itu menyaksikan mereka diberikan ‘hak nama’ atau ‘naming rights’ kepada acara dengan logo rasmi turut ditukar kepada Petronas Le Tour de Langkawi 2023.
Malah, LTdL kali ini akan menampilkan keunikan tersendiri apabila Petronas turut diberikan hak menaja jersi pendahulu keseluruhan dan buat kali pertama ia akan ditukar kepada warna hijau, warna rasmi Petronas berbanding kuning yang digunakan sejak penganjuran diperkenalkan pada 1996.
“Penganjur yang sudah 26 tahun menampilkan jersi utama pendahulu keseluruhan berwarna kuning sebelum ini, buat kali pertamanya menukar kepada warna hijau Petronas, seperti jersi kuning ‘mailot jeune’ di Tour de France dan jersi merah jambu ‘maglia rosa’ di Giro d’Italia.
“Berdasarkan nilai pulangan kepada penaja, saya percaya MSN mampu melaksanakan yang terbaik, sebab itu Kabinet menyerahkan tugas ini kepada MSN sebagai agensi pelaksana,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Datin Anita Azrina Abd Aziz berkata, Petronas memberi tajaan utama sebagai sokongan kepada arena sukan tanah air.
“Sebagai penaja perdana, pulangan kepada kami lebih dari apa yang kami berikan seperti nilai dari media, pelaburan kepada atlet Malaysia dan pelancongan sukan,” katanya.
LTdL 2023 akan menampilkan 132 pelumba daripada 22 pasukan (berstatus WorldTeam, ProTeam dan Continental) selain pasukan kebangsaan.
Secara keseluruhan edisi kali ini menyaksikan laluan yang merangkumi 11 negeri dengan Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu (184.4km); Peringkat 2 Kuala Terengganu-Kota Bharu (186.2km); Peringkat 3 Jeli-Baling (177.1km); Peringkat 4 Bukit Mertajam-Meru Raya (140km); Peringkat 5 Slim River-Genting Highlands (133.3km); Peringkat 6 Karak-Melaka (176.6km); Peringkat 7 Muar-Seremban 2 (125.7km) dan Peringkat 8 Setia Alam-Kuala Lumpur (157km).
– Harian Metro