MELAKA: Biarpun perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 Peringkat Kelima dari Kuala Lumpur ke Melaka, hari ini, sedikit terganggu dengan hujan lebat di pertengahan saingan sebelum berakhir dalam cuaca panas, ia tidak menghalang pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn muncul juara.
Pelumba yang terkenal dengan gelaran ‘Little Gorilla’ itu menunjukkan dia semakin mengganas dalam perlumbaan berstatus 2.Pro tidak kira dalam keadaan cuaca apa sekali pun dan mula membiasakan diri dengan perlumbaan di Malaysia.
De Kleijn tiba di garisan penamat dengan catatan masa 3 jam 35 minit 30 saat (s) dalam perlumbaan sejauh 167.3 kilometer (km), mengetepikan pencabar sama seperti semalam, Matteo Malucelli dari JCL Team UKYO yang hanya berpuas hati di tempat kedua.
Sementara itu, pakar pecut Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa menjadi pelumba ketiga melintasi garisan penamat.
“Ia adalah perlumbaan yang sempurna. Boleh saya katakan bantuan yang sempurna daripada rakan sepasukan.
“Sebelum 200 meter (m) ke garisan penamat, saya dapat rasakan pencabar lain mula menghampiri saya,” kata De Kleijn yang merangkul kemenangan kali keempat di LTdL.
Ujar pelumba kelahiran Belanda itu, dia dapat merasakan Malucelli menghampirinya dan cuba untuk melakukan pintasan, namun ia tidak berlaku.
“Saya merasakan seperti seorang pakar pendakian (selepas melalui tiga zon pendakian di Ampang, Bukit Hantu dan Bukit Mantin).
“Saya sedikit bergelut, namun rakan sepasukan hadir bersama saya,” katanya.
Selain perseteruan di garisan penamat, De Kleijn dan Malucelli juga ‘bercakaran’ sesama sendiri untuk merebut Jersi Jingga (Raja Pecut) apabila pelumba Itali itu hanya berkelebihan satu mata (46 mata).
Sementara itu, Jersi Hijau (pendahulu keseluruhan) kekal milik pelumba Team dsm-firmenich PostNL, Max Poole dengan mengumpul masa 16:33:04s, diikuti rapat Thomas Pesenti dari JCL Team UKYO (0:15).
Jersi Polka Dot (Raja Bukit) kekal milik pelumba Burgos-BH, Mario Aparicio dengan mengumpul 27 mata, diikuti Poole 22 mata dan Anthon Charmig dari Astana Qazaqstan Team (22 mata).
Manabu Ishibashi dari JCL Team UKYO kekal menyarung Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia dengan catatan 16:35:22s diikuti Keigo Kusaba (Aisan Racing Team) di tempat kedua, 16:37:59s.
Perlumbaan Peringkat Keenam esok akan bermula dari Batu Pahat dan berakhir di Kulai dengan jarak 123.4km, dengan menawarkan tiga zon pecutan di Senggarang, Rengit dan Bukit Batu.
– Harian Metro