BUTTERWORTH: Pelumba JCL Team Ukyo, Matteo Malucelli mengungguli Peringkat 2 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dari Arau ke Butterworth yang turut menyaksikan satu kemalangan berlaku ketika baki 100 meter (m) terakhir perlumbaan.
Pakar pecut dari Itali berusia 30 tahun itu menemui garisan penamat perlumbaan sejauh 154.5 kilometer (km) itu dengan catatan tiga jam 34 minit dan 58 saat (s) manakala Manuel Penalver dari pasukan Team Polti Kometa di tempat kedua.
Melengkapkan pentas podium adalah penyandang juara dari pasukan Tudor Pro Cycling Team, Arvid de Kleijn manakala pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif Saleh muncul selaku pelumba terbaik Malaysia apabila menamatkan saingan di tempat ketujuh.
“Saya masih tidak percaya dapat memenangi peringkat ini. Ia adalah kali pertama memenangi perlumbaan berstatus 2.Pro dan ia adalah detik indah buat saya.
“Saya masih belum memahami bagaimana hendak meluahkan kemenangan ini,” katanya yang juga seorang pakar pecut dan menyifatkan kemenangan itu adalah penting buat pasukan memperbaiki ranking mereka bagi musim ini.
Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan masih dipegang pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa dengan catatan 5:39:23s manakala Malucelli berada di kedudukan kedua dan Muhammad Nur Aiman Rosli (Terengganu Cycling Team) ketiga.
Aiman turut mempertahankan Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia dengan masa 5:39:27s, meninggalkan Ng Pak Hang (HKSI Pro Cycling Team) satu saat di belakang dan Muhammad Yusri Shaari (Malaysia), lima saat dalam carta keseluruhan Jersi Putih.
Jersi Raja Pecut turut kekal bersama Syritsa dengan 23 mata manakala Malucelli di tempat kedua, 22 mata dan Penalver ketiga, 17 mata.
Jersi polka dot selaku Raja Bukit turut kekal bersama pelumba Ara Skip Capital, Tyler Tomkinson dengan dua mata manakala Aiman kedua, satu mata menjelang perlumbaan Peringkat 3 esok yang dijadual mempunyai tiga zon pendakian.
– Berita Harian