KUALA LUMPUR: Penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 akan menggunakan pengalaman dimiliki mereka bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk situasi perubahan monsun ketika ini.
Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL 2023, Emir Abdul Jalal berkata, mereka sudah menjangkakan situasi sedemikian namun menganggap ia sebagai satu cabaran dan keunikan bagi perlumbaan itu.
“Kalau di peringkat penganjur, perlumbaan awal dijangka hujan di sebahagian peringkat perlumbaan namun itu yang menjadikan LTdL unik.
“Persediaan kita buat secara keseluruhan, namun untuk menukar atau mengubah sedikit laluan sudah ada (sekiranya banjir atau sebagainya).
“Itu berdasarkan pengalaman pada 2011. Kita dapat tukar sebahagian besar. Kita siapkan satu alternatif untuk laluan berkenaan. Bagi saya, hujan biasa, ini adat resam perlumbaan basikal,” kata Emir.
Dua peringkat awal LTdL 2023 dijadual bermula di Terengganu bermula Sabtu ini iaitu dari Kerteh ke Kuala Terengganu dan keesokannya dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu.
Kedua-dua laluan itu dilihat bakal memberi kelebihan buat pasukan bertaraf benua Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) yang berpangkalan di negeri itu untuk ‘menawan’ peringkat berkenaan.
Emir dalam pada itu menjangkakan saingan sengit bakal berlaku pada Peringkat 1 perlumbaan yang akan melalui persisiran pantai.
“Kami menjangkakan bakal berlaku penamat beramai-ramai di peringkat pertama dari Kerteh ke Kuala Terengganu, pasukan gergasi akan memberi laluan kepada TSG dan pasukan kebangsaan melakukan pemecahan.
“Aiman Zarif (pelumba TSG) ada peluang untuk hari pertama kerana akan melalui kampungnya, jadi dia akan terus melakukan serangan sejak hari pertama lagi. Sebab dia sudah tentu mahu mengutip mata di zon pendakian.
“Tidak mudah tetapi saya rasa dia akan menggunakan strategi mengutip mata sebanyak mungkin sebelum sampai ke pendakian paling berprestij iaitu di Genting Highlands (peringkat kelima),” katanya.
Untuk rekod, Aiman adalah penyandang gelaran Raja Bukit untuk dua edisi berturut-turut selepas menakluk edisi 2020 dan 2022. Edisi 2021 dibatalkan susulan COVID-19.
– Berita Harian