LANGKAWI – Dua pakar pecut – Arvid de Kleijn yang mewakili Tudor Pro Cycling Team dan pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa tampak mempunyai peluang menyambar gelaran juara keseluruhan perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024.

Ramalan itu bersandarkan kepada teori atas kertas yang mana perlumbaan berbasikal paling berprestij di rantau Asia edisi ke-28 tahun ini tidak menyajikan laluan pendakian ke puncak Genting Highlands.

Malah, persaingan memburu Jersi Hijau selaku juara keseluruhan agak lebih terbuka buat barisan pakar pecut apabila laluan perlumbaan kali ini kebanyakannya landai, sekali gus menjanjikan saingan sengit antara mereka di setiap peringkat.

De Kleijn atau lebih dikenali dengan panggilan Little Gorilla dan Syritsa kini antara dua nama hangat yang disebut-sebut mampu merampas status juara keseluruhan daripada penyandang juara daripada pasukan EF Education-Easypost, Simon Carr.

Bagi De Kleijn yang juga Raja Pecut (Jersi Jingga) LTdL 2023, dia sudah bersedia untuk sekali lagi menggegar pentas LTdL sekalipun dibelenggu masalah kecederaan lutut kiri menjelang perlumbaan kali ini.

“Pada LTdL tahun ini, saya dan Gleb akan kembali berentap memburu kemenangan dalam mana-mana peringkat dan bagi saya, perlumbaan LTdL ini adalah medan pertarungan terbaik buat pelumba pecut seperti kami.

“Sebelum ini, saya berehat kira-kira empat bulan akibat kecederaan. Tetapi tiga minggu lalu, saya sudah berada dalam kondisi terbaik (dengan menjuarai perlumbaan Grand Prix d’Isbergues dan De Fourmies) di Jelajah UAE.

“Saya sudah berada dalam keadaan baik seperti permulaan musim. Sekarang saya benar-benar sudah bersedia bagi menghadapi salah satu kejohanan yang terbaik pernah saya hadapi,” katanya dalam sidang akhbar pada Sabtu.

Sementara itu, Syritsa pula melaungkan amaran kepada barisan pencabarnya betapa dia berazam memburu kemenangan sebanyak mungkin sekalipun sedar persaingan sengit bakal dihadapinya nanti.

“LTdL merupakan antara pelumbaan kegemaran saya. Mungkin tidak mustahil untuk saya memenangi lima perlumbaan di sini. Saya harap dapat memperbaiki keputusan tahun lalu,” ujarnya yang memenangi dua peringkat LTdL 2023.

Pelumba DSM Firmenich PostNL, Max Poole turut diramal mampu menjadi pencabar utama memandangkan pelumba Great Britain berusia 21 tahun itu masih segar dengan penampilan cemerlangnya pada ‘World Tour’, La Vuelta A Espana.

“LTdL tetap satu perlumbaan yang sukar. Namun bagi saya, saya tidak rasa ia satu tekanan jika saya melakukan perkara yang sama (seperti di La Vuelta A Espana) dan kita lihat apa yang berlaku akhir nanti.

“Saya tidak dapat memberikan gambaran penuh kerana ini kali pertama saya berlumba di Asia, memang agak menarik. Saya tidak pernah melaluinya sebelum ini, pasti menarik untuk menikmatinya,” ujar Poole.

Dalam pada itu, Carr berkata, dia tetap mengintai peluang mempertahankan gelaran yang dimenangi tahun lalu sekalipun edisi tahun ini tidak melibatkan pendakian ke Genting Highlands yang secara tradisinya menjadi penentu kejuaraan LTdL.

“Memenangi LTdL tahun lepas pastinya satu pencapaian besar bagi saya. Saya rasa saya berada dalam keadaan yang sama seperti tahun lalu dan cita-cita pasukan adalah untuk sekali lagi bergelar juara keseluruhan.

“Bagaimanapun, laluan perlumbaan tahun ini agak berbeza. Tahun lalu, ada pendakian ke Genting Highlands tetapi tahun ini pendakian ke Cameron Highlands agak lebih mudah.

“Jadi persaingan akan menjadi lebih terbuka dan sukar diramalkan. Ia mungkin memberi kelebihan kepada pelumba yang bukannya daripada pakar bukit. Apapun kita tunggu hari perlumbaan nanti,” jelasnya.

Pemenang Jersi Polka Dot (Raja Bukit), Simon Pellaud pula tampak tenang sekalipun diuji dengan masalah basikal beberapa sebelum perlumbaan peringkat pertama bermula.

“Ini kali pertama saya berdepan dengan situasi sebegini. Sebelum ini pernah berlaku ketika saya menjalani latihan, tetapi itu ketika latihan, ia bukan masalah besar bagi saya.

“Tetapi untuk perlumbaan, ini adalah kali pertama. Saya tahu kondisi saya bagus walaupun tanpa basikal semasa latihan semalam (Jumaat), ia bukan satu masalah yang memberi kesan besar terhadap prestasi saya.

“Saya hanya cuba ambil perkara ini dengan tenang, tiada apa yang dapat saya lakukan, saya tidak boleh ke Dubai untuk dapatkan kembali basikal saya, masa agak suntuk,” katanya.

Peringkat pertama pada Ahad akan menyaksikan kesemua pelumba bersaing mengelilingi pulau legenda ini yang menampilkan tiga zon pecutan – Harbour Park, Kampung Bayas dan Padang Matsirat serta satu pendakian kategori empat.

Perlumbaan sejauh 96.5 kilometer (km) itu akan bermula dan berakhir di pekan Kuah.