KULAI – Pelumba VF Group-Bardiani CSF-Faizane, Manuele Tarozzi ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila memenangi Peringkat 6 PETRONAS Le Tour de Langkawi yang bermula dari Dataran Penggaram, Batu Pahat sejauh 123.4 kilometer (km) pada Jumaat.
Tarozzi melintasi garisan penamat dengan catatan masa dua jam 28 minit 58 saat (s), bagi mengetepikan pelumba EF Education-Easypost Stefan de Bod yang terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat kedua.
Sebelum itu, Tarozzi bersaing hebat dengan de Bod ketika perlumbaan berbaki 500m, namun kayuhan pelumba kelahiran Itali berusia 26 tahun itu lebih bertenaga ketika menuju ke garisan penamat untuk dia muncul juara.
Pakar pecut Tudor Pro Cycling Team, Arvid de Kleijn yang berada dalam peloton belakang kedua-dua pelumba itu sekadar mengakhiri perlumbaan di tempat ketiga dengan merekodkan masa 2:29.07s.
Pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Ahmad Syazrin Awang Ilah pula muncul pelumba terbaik Malaysia apabila menamatkan perlumbaan tersebut di tempat ke-23, menerusi catatan 2:29.07s.
“Saya benar-benar cukup gembira hari ini apabila setiap percaturan yang dirancang menjadi. Saya mengekalkan tempo kayuhan apabila melakukan breakaway sebelum memecut lebih pantas pada 2km terakhir.
“Saya sedar dicabar hebat oleh Stefan pada penghujung perlumbaan tetapi saya cuba untuk terus bertahan dan berada di depannya. Ternyata apa yang dirancang berhasil pada peringkat kali ini.
“Terima kasih kepada rakan-rakan sepasukan yang memberi kepercayaan kepada saya untuk melakukan breakaway. Tanpa bantuan mereka, mungkin agak sukar untuk saya kekal di depan,” kata Tarozzi.
Ketika diminta mengulas situasi ‘satu lawan satu’dengan Tarozzi, de Bod mengakui pencabarnya itu lebih bersedia dari segi mental dan fizikal ketika 500m terakhir perlumbaan.
“Saya cuba untuk mencabarnya dan mengejarnya dari belakang, tetapi masih gagal. Saya berasa sedikit kecewa kerana gagal memenangi perlumbaan hari ini, tetapi akan terus mencuba lagi dalam dua peringkat akan datang.
“Perlumbaan hari ini memberikan satu pengalaman dan pengajaran kepada saya. Saya akan jadikan ia semangat untuk terus memburu kemenangan pada perlumbaan LTdL ini,” jelasnya.
Sementara itu, pelumba Team DSM-Firmenich PostNL, David Max Poole yang mengakhiri perlumbaan Peringkat 6 di tempat ke-33, masih kekal menyarung Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan apabila merekodkan masa 19:02.03s.
Dengan dibezakan 0.14s, pakar pendakian berusia 21 tahun dari Great Britain itu diekori rapat pelumba JCL Team UKYO, Thomas Pesenti, manakala pelumba Equipo Kern Pharma, Unai Iribar Jauregi di tempat ketiga keseluruhan.
Sekalipun gagal menyambar kemenangan ketiga berturut-turut selepas menjuarai Peringkat 4 dan 5, de Kleijn masih mampu tersenyum apabila dia kini merupakan pemegang Jersi Jingga selaku Raja Pecut.
Lebih dikenali dengan gelaran Little Gorilla, de Klein berjaya mengumpul 54 mata – empat mata dibezakan dengan pemilik jersi sebelum itu, Matteo Malucelli daripada JCL Team UKYO yang mengutip 50 mata.
Memandangkan tiada zon pendakian pada Peringkat 6, Jersi Polka Dot (Raja Bukit) kekal milik pelumba Burgos-BH, Munoz Mario Aparicio yang mengumpul 27 mata, diikuti pelumba Team DSM-Firmenich PostNL, David Max Poole (22) dan pelumba Astana Qazaqstan Team, Anthon Charmig (12).
Pelumba JCL Team UKYO, Manabu Ishibashi pula mengekalkan Jersi Putih (Terbaik Asia) dengan catatan 19:04.21s, diikuti rakan sepasukannya, Yuma Koishi (19:07.02s) dan pelumba Aisan Racing Team (AIS), Keigo Kusaba (19:07.06s).
Sementara itu, pasukan Equipo Kern Pharma masih kekal dengan status selaku pendahulu keseluruhan apabila merekodkan masa 57:07.09s diikuti Astana Qazaqstan Team (57:08.40s) dan Team Polti Kometa (57:08.49s).
Bagi kategori Asia, JCL Team UKYO juga kekal pendahulu keseluruhan dengan catatan masa 57:18.33s diikuti pasukan kebangsaan Thailand (57:41.21s) dan MPC (57:41.43s).
Dua baki peringkat bakal menyaksikan Sarawak menjadi tuan rumah yang mana Peringkat 7 pada Sabtu bermula dari Miri ke Bintulu sejauh 199.3km menawarkan tiga zon pecutan di Suai, Nyalau dan Kidurong serta satu zon pendakian di Bintulu.