BENTONG: Walaupun bukan seorang pakar pecut yang tulen, pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) , Nur Aiman Zariff sudah berusaha keras untuk mencari kedudukan terbaik di peringkat keempat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong sejauh 131.2 kilometer (km) hari ini.
Ternyata kehebatan pakar pecut tidak mampu ditandingi oleh Raja Bukit pada edisi 2020 dan 2022 LTdL itu apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-25 namun dia adalah pelumba pertama Malaysia tiba di garisan penamat.
Menurut pelumba yang menyambut ulang tahun ke-27 itu semalam, permulaan perlumbaan memang sangat sukar kerana banyak yang cuba melakukan pemecahan dan beliau juga cuba untuk berbuat demikian kerana ingin mengumpul mata di zon pendakian (GAP).
“Tengok situasi hari ini memang pelumba EF Education-EasyPost (Stefan De Bod) sangat agresif melihat kepada usahanya selepas tidak melakukan sebarang tugasan semalam. Mungkin dia mahu naikkan kedudukan keseluruhan mereka.
“Ia menyebabkan perlumbaan dari awal sampai ke penamat sangat laju. Bagaimanapun, mereka yang melakukan ‘breakaway’ berjaya ditangkap 600 meter menuju garisan penamat. Bagi peribadi, saya rasa sangat berpuas hati. Esok akan ada satu lagi peringkat pendakian, saya cuba untuk mencari kedudukan terbaik demi diri sendiri, pasukan dan juga negara,” katanya.
Ditanya mengenai penamat sebentar tadi, Aiman mengakui dia cuba mencari kedudukan terbaik namun tidak berjaya memperoleh kedudukan terbaik dan tidak tahu untuk mengekori siapa.
“Saya cuba ikut pelumba Tudor (Pro Cycling Team) namun ramai pelumba mengekori belakangnya, jadi saya tidak mahu ambil risiko takut terjatuh. Saya hanya berlumba di atas pengalaman sahaja,” katanya.
Sementara itu, TSG terpaksa melupakan khidmat pakar pecut, Harrif Saleh yang berkemungkinan sudah kepenatan selepas pendakian di Cameron Highlands semalam apabila gagal menamatkan perlumbaan pada masa akhir yang ditetapkan.
Selain Harrif, empat lagi pelumba Malaysia terpaksa melupakan LTdL 2024 disebabkan perkara sama iaitu, Zulhelmi Zainal (Nusantara Cycling Team), Fahmi Khairul, Izzat Hilmi Halil (Malaysia Pro Cycling) dan Azim Aliyas (skuad kebangsaan).
– Harian Metro