BINTULU: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohamad Nur Aiman Zariff akan menggunakan 100 peratus tenaga dimilikinya untuk cuba mendapatkan penamat yang positif pada perlumbaan peringkat kemuncak Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024, esok.

Nur Aiman tidak dapat merealisasikan sasarannya untuk cuba mendapatkan penamat podium di Peringkat 7 membabitkan laluan sejauh 199.3 kilometer (km) dari Miri ke Bintulu hari ini apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-66.

“Ada tinggal sehari sahaja lagi, jadi tak ada apa lagi untuk saya simpan (tenaga). Saya akan cuba 100 peratus untuk diri sendiri, pasukan dan Malaysia,” kata Nur Aiman yang menamatkan perlumbaan Peringkat 7 dengan catatan 4 jam 18 minit dan 03 saat (s).

Peringkat 8 yang juga kemuncak LTdL 2024 esok bakal membabitkan laluan sejauh 147.5km di sekitar Bintulu yang merangkumi tiga zon pecutan iaitu di Kem Batu 18, Lasar Kenyalang 1 dan Lasar Kenyalang 2 tanpa membabitkan zon pendakian.

Mengulas lanjut, Nur Aiman berkata, faktor cuaca panas dan hujan di sepanjang laluan sejauh 199.3km hari ini turut memainkan peranan untuk pelumba cuba mengekalkan tenaga sehingga ke garisan penamat.

“Sejak awal perlumbaan, sudah mula hujan dan ada tempat yang panas dan kemudian hujan semula. Kami kehabisan tenaga dengan cuaca sebegini.

“Mungkin ada yang kata ia elok, tetapi cuaca begini lagi banyak berpeluh dan banyak gunakan tenaga,”katanya.

– NST