Putrajaya: Isu membabitkan penganjuran perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) memberi impak besar dalam sukan tanah air dengan Majlis Sukan Negara (MSN) selaku penganjur tahun ini mengambil pendekatan untuk menguruskan sendiri hadiah kemenangan kepada pemenang LTdL kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, persiapan LTdL 2023 yang berlangsung dari 23 hingga 30 September berjalan lancar dan wang kemenangan keseluruhan bernilai RM800,000 sudahpun tersedia.
“Tiada apa berubah. Laluan dirancang juga sama walau apapun keputusan Pilihanraya Negeri (PRN) nanti. Sekarang ini, kita sedang berusaha menarik lebih banyak penaja untuk bersama-sama menganjur LTdL tahun ini.
“Perbincangan dengan penaja juga sedang berjalan dan harap tawaran diberikan mampu menarik minat mereka untuk bersama menjayakan perlumbaan tahun ini.
“Perkara paling penting ketika ini ialah wang kemenangan yang kita sediakan dan kita akan bayar melalui UCI dan kos-kos lain seperti kos penyertaan semua kita akan berunding dengan kelab-kelab tersebut dan kita akan bayar sendiri,” katanya.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meluahkan rasa lega dan gembira apabila isu penganjuran LTdL 2023 sudah pun selesai dan berharap penganjur kali ini berusaha gigih untuk mencari penaja bagi menjayakan penganjuran dengan sebaiknya.
“Sekarang saya lega dan sekarang kita boleh fokus kepada penganjuran terutama untuk mendapatkan penaja. ”
Saya juga percaya dengan kerjasama semua pihak, kita boleh menjayakannya, yang paling penting adalah kerjasama MSN dengan persatuan sukan kebangsaan, jadi demi Malaysia, kita kena jayakan kali ini,” kata Hannah.
– Berita Harian