KUALA LUMPUR: Pasukan Malaysia Pro Cycling (MPC) akur apabila dua daripada pelumbanya tidak dapat lagi meneruskan baki saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 kerana tidak melepasi had masa perlumbaan (OTL) yang turut disertai juara bertahan tahun lalu, Simon Carr dari pasukan EF Education-EasyPost.

Pelumba berpengalaman, Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil dan Muhammad Fahmi Khairul tidak akan meneruskan perlumbaan selepas tidak melepasi had masa perlumbaan pada perlumbaan Peringkat 4 dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong, semalam.

Perlumbaan sejauh 131.2 kilometer (km) yang membabitkan pendakian panjang ke GAP menyaksikan tiga lagi pelumba negara, Abdul Azim Aliyas (skuad kebangsaan), Mohd Harrif Saleh (Terengganu Cycling Team) dan Zulhelmi Zainal (Nusantara) turut tersingkir.

“Malangnya kami kini kehilangan dua pelumba kerana Izzat dan Fahmi tidak melepasi had masa,” kata pengarah sukan pasukan, Sayuti Zahit mengenai pasukannya yang bakal meneruskan perjuangan di baki perlumbaan berprestij berkenaan dengan empat pelumba sahaja.

“Ini meninggalkan pasukan kami akan meneruskan perlumbaan dengan empat lagi pelumba sehingga penghujung perlumbaan.”

Empat pelumba berkenaan yang akan meneruskan baki perjuangan adalah kapten pasukan, Muhammad Zawawi Azman, Ahmad Syazrin Awang Ilah, Zulfikri Zulkifli dan Muhammad Syawal Mazlin.

“Apapun, kami masih kekal berada di kedudukan ketiga dalam carta kedudukan Pasukan Terbaik Asia. Pasukan akan terus berusaha dan memberikan yang terbaik selepas ini,” kata Sayuti.

– Berita Harian