SHAH ALAM: Esok pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Harrif Saleh mempunyai dua misi pada peringkat terakhir Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 cuba memenangi perlumbaan dan membantu rakan-sepasukannya, Jambaljamts Sainbayar mencabar Jersi Putih (Terbaik Asia).
Peringkat terakhir atau kelapan LTdL 2023 bakal berlangsung dari Setia Alam ke Kuala Lumpur dengan jarak kayuhan sejauh 156.5 kilometer (km) dan bagi Harrif, peluang masih terbuka buat pasukan dalam usaha mengekalkan jersi berkenaan yang dimenangi Sainbayar tahun lalu selain memburu penamat di podium.
Sainbayar pada ketika ini ketinggalan dua minit empat saat (s) di belakang pelumba WorldTeam, Astana Qazaqstan Team, Vadim Pronskiy yang mendahului dengan catatan 26:06.29s.
Harrif yang memegang status pelumba paling banyak membuat penampilan di LTdL iaitu sebanyak 14 kali berkata, peluang masih terbuka dan ia semua bergantung kepada rezeki memandangkan persaingan kali ini nyata lebih kuat berbanding edisi tahun lalu.
“Tengok kepada perancangan. Kalau ada peluang untuk melakukan pecutan, saya akan masuk sebab peluang itu masih ada. Kalau perancangan adalah untuk membantu (mencabar) Jersi Putih, saya akan tolong.
“Ada harapan lagi (untuk peringkat) tetapi itu tengok kepada rezeki. Kami sudah melakukan yang terbaik tetapi tahap saingan sekarang lebih tinggi sekiranya dibandingkan tahun lalu.
“Perbezaan ini berlaku kerana mereka baharu sahaja selesai beberapa perlumbaan di tahap tertinggi seperti Giro Italia dan sebagainya, tidak seperti saya, perlumbaan di tahap tinggi saya sertai adalah di Oman pada Februari lalu.
“Apabila kita tercicir daripada perlumbaan tahap tinggi, dan kemudian kita berlumba lagi dengan mereka, sudah pasti kita terkejut dengan situasi kerana tahap mereka sudah semakin tinggi.
“Apapun, esok masih ada peluang lagi tetapi tengok dulu bagaimana dan terus lakukan yang terbaik,” kata Harrif atau terkenal dengan nama panggilan ‘Mamat’.
– Harian Metro