KUALA TERENGGANU: Skuad berbasikal nombor satu Asia, Terengganu Cycling Team (TSG) mempertaruhkan enam pelumba berpengalaman dalam mengharungi saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 hujung bulan ini.

Ketua Pegawai Operasinya, Nasiruddin Wan Idrus berkata, pelumba berkenaan terdiri daripada Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, Nur Aiman Mohd Zariff, Nur Aiman Rosli, Andreas Miltiadis, Anatolli Budiak dan Harrif Saleh selaku pelumba pecut pasukan.

Jelasnya, enam pelumba berkenaan akan menggalas cabaran saingan untuk mencapai sasaran sekurang-kurangnya satu podium dalam jelajah berstatus Pro Series dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu yang bermula 29 September hingga 6 Oktober ini.

“Saingan LTdL edisi kali ini, kami turut mempertaruhkan muka baharu iaitu Nur Aiman Rosli, pemilihannya berdasarkan prestasi cemerlang dalam beberapa perlumbaan sebelum ini.

“Jadi untuk LTdL ini kita harap dia mampu membuat kejutan seperti dilakukan ketika Jelajah Thailand beberapa bulan lalu,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.

Dalam perkembangan lain, Nasiruddin berkata TSG kini berada di landasan terbaik untuk mengekalkan gelaran juara Asia musim ini.

Jelasnya, terkini TSG berada di kedudukan teratas dengan baki empat jelajah lagi sebelum musim 2024 melabuhkan tirainya, Oktober ini.

“Berbekalkan pelumba terbaik, kita berazam untuk mengekalkan gelaran pasukan terbaik benua dan memperbaiki ranking dalam pasukan terbaik dunia pada musim ini.

“Kita yakin mampu merealisasikan impian itu terutama terkini kita masih mendahului di kedudukan pertama dan berpeluang untuk mengekalkan gelaran juara yang dimenangi selama tiga tahun berturut-turut sebelum ini dilihat cerah,” katanya.

– Berita Harian