BINTULU – Pelumba JCL Team Ukyo, Matteo Malucelli kembali menjejakkan kaki di podium utama apabila menjuarai perlumbaan Peringkat 7 PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 di Lasar Kenyalang pada Sabtu.
Pada perlumbaan yang bermula dari Miri Waterfront sejauh 199.3 kilometer (km) itu, Melucelli – pakar pecut kelahiran Itali berusia 30 tahun, berjaya mengesahkan kemenangannya menerusi catatan masa empat jam 18 minit 03 saat (s).
Pecutan terakhir kira-kira 10m terakhir memastikan Malucelli yang memenangi Peringkat 2 dari Arau ke Butterworth pada Isnin lalu, memintas dua pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid de Kleijn dan Maikel Zijlaard.
Sebelum dipintas Malucelli pada saat-saat akhir, Zijlaard dilihat membuka ruang buat de Kleijn menuju ke garisan penamat, namun Malucelli berjaya menyelinap dalam kelompok pelumba lain sebelum meraih penamat penuh dramatik itu.
“Rakan-rakan sepasukan saya telah melakukan tugas mereka dengan cukup baik pada perlumbaan hari ini. Ia satu penamat yang hebat apabila saya dapat memintas dua pelumba Tudor pada penghujung perlumbaan.
“Segala kerja kerasa kami sejak awal perlumbaan hari ini berbaloi. Pada jarak kira-kira 3km terakhir, saya dan rakan sepasukan mula mencari ruang dan peluang untuk berada dalam kelompok hadapan pelumba.
“Berbaki 100m terakhir, saya lihat ada pelung menyelinap dan terus bergerak ke hadapan sebelum memintas dua pelumba Tudor kira-kira 10m terakhir. Saya cukup gembira dengan kemenangan hari ini,” kata Malucelli.
Pada perlumbaan peringkat terpanjang pada edisi 2024 itu, pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli muncul pelumba terbaik Malaysia apabila menamatkan di tempat ke-22 dengan catatan 4:18.03s.
Rakan sepasukannya, Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff pula mencuri tumpuan apabila dijulang sebagai ‘Most Combative Rider’ selepas menjadi tunjang kekuatan TSG pada Peringkat 7 itu.
Sementara itu, pelumba Team DSM-Firmenich PostNL, David Max Poole tampak berpeluang cerah ditabalkan selaku ‘sang juara’ LTdL edisi ke-28 tahun ini berbaki satu peringkat perlumbaan.
Sekalipun sekadar mengakhiri perlumbaan Peringkat 7 di tempat ke-50, pakar pendakian berusia 21 tahun dari Great Britain itu masih kekal menyarung Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan apabila merekodkan masa 23:20.06s.
Poole kini dibezakan 0:13s dengan pelumba JCL Team UKYO, Thomas Pesenti, manakala pelumba Equipo Kern Pharma, Unai Iribar Jauregi di tempat ketiga dengan catatan masa keseluruhan 23:20.26s.
Jersi Polka Dot selaku Raja Bukit LTdL 2024 pula sah menjadi milik pelumba Burgos-BH, Munoz Mario Aparicio yang mengumpul 27 mata memandangkan tiga zon pendakian pada peringkat terakhir pada Ahad.
Perebutan Jersi Jingga selaku Raja Pecut makin sengit apabila Malucelli dan de Klein akan meneruskan perseteruan mereka pada peringkat terakhir selepas kedua-dua pakar pecut itu hanya dibezakan dengan satu mata.
Tampil selaku pemenang Peringkat 4 dan 5 bagi edisi kali ini, de Kleijn masih kekal selaku pemegang Jersi Jingga apabila mengumpul 66 mata, manaka Malucelli dengan 65 mata.
Bagi de Kleijn yang dikenali dengan panggilan Little Gorilla, perasaannya ketika ini bercampur baur selepas terlepas peluang merekodkan kemenangan pada Peringkat 7 itu sekalipun masih menyarung Jersi Jingga.
“Sudah tentu saya agak kecewa kerana gagal memenangi perlumbaan hari ini. Pada satu ketika, kemenangan itu sudah hampir berada di depan mata saya, tetapi akibat sedikit kesilapan, saya terlepas peluang itu.
“Saya harap dapat menebus kekecewaan ini pada peringkat terakhir esok. Ini peluang terakhir saya untuk menambah kemenangan pada LTdL selain mempertahankan status Raja Pecut kali ini,” jelasnya.
Sementara itu, pelumba JCL Team UKYO, Manabu Ishibashi mengekalkan Jersi Putih (Terbaik Asia) dengan masa 23:22.24s, diikuti rakan sepasukannya, Yuma Koishi (23:25.05s) dan pelumba Aisan Racing Team (AIS), Keigo Kusaba (23:25.09).
Pasukan Equipo Kern Pharma masih kekal dengan status selaku pendahulu keseluruhan apabila merekodkan masa 70:01.18s, diikuti Astana Qazaqstan Team (70:02.49s) dan Team Polti Kometa (70:02:58s).
Bagi kategori Asia, JCL Team UKYO juga kekal pendahulu keseluruhan dengan catatan masa 70:12;42s diikuti pasukan kebangsaan Thailand (70:35.30s) dan Malaysia Pro Cycling (MPC), 70:35.52s.
Peringkat 8 yang juga peringkat terakhir pada Ahad melibatkan jarak perlumbaan sejauh 147.5km bermula dan berakhir di Lasar Kenyalang dengan tiga zon pecutan di Kem Batu 18, Lasar Kenyalang 1 dan Lasar Kenyalang 2.