KUALA LUMPUR: Andai kos penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun lalu membabitkan kos yang dianggarkan mencecah sehingga RM15 juta, edisi kali ini bagaimanapun dijangka memperuntukkan jumlah yang lebih tinggi.

Ia memandangkan edisi ke-28 kali ini perlu menampung kos logistik yang lebih tinggi kerana kalendar perlumbaan kembali memasuki Pulau Langkawi dan juga Bintulu di Sarawak.

Namun Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub berkata, pihaknya tidak dapat mendedahkan jumlah keseluruhan bagi penganjuran LTdL 2024 tetapi mengakui berlaku sedikit peningkatan kerana kos logistik berkenaan.

“Kos memang agak tinggi sedikit melebihi RM15 juta.. sekarang ini kita ada bajet, kadang-kadang bajet juga boleh berubah. Dari masa ke masa, kita akan tengok tetapi memang kalau RM15 juta itu, mungkin boleh buat empat atau lima peringkat sahaja dan mungkin hanya membabitkan Semenanjung Malaysia.

“Jadi apabila pergi Sabah Sarawak, yang mana menyeberang lautan, dan menyeberang ke Langkawiů bajet kita lebih bertumpu kepada logistik sebenarnya,” kata Abdul Rashid, selepas majlis Pengumuman Kerjasama Strategik Tourism Malaysia dan Sidang Media Petronas Le Tour de Langkawi 2024 di MSN, Bukit Jalil, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Saidi Bundan.

Tourism Malaysia bersetuju meneruskan kerjasama strategik apabila memberi penajaan bernilai RM1 juta sekali gus menjadi penaja jersi Polka Dot Raja Bukit perlumbaan berprestij Asia itu.

Untuk rekod, bagi edisi tahun lalu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di peringkat awal hanyalah RM8 juta dan sebagai penganjur, MSN memerlukan bajet lebih besar iaitu sekitar RM15 hingga RM16 juta untuk menjayakan perlumbaan kelas dunia itu.

– Berita Harian