BUKIT JALIL – Pasukan World Tour EF Education-EasyPost mempertaruhkan bukan seorang tetapi empat pelumba yang berkaliber untuk mempertahankan gelaran pelumba terbaik keseluruhan (GC) dan pasukan terbaik untuk saingan PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang bakal membuka tiarai pada 29 September hingga 6 Oktober depan.
Simon Carr dari Great Britain, pemenang jersi hijau keseluruhan tahun lepas mengetuai barisan pelumba handalan pasukan yang berpengkalan di Amerika Syarikat itu, yang turut dibarisi Jefferson Alexander Cepeda (Ecuador), Jhoan Esteban Chaves (Colombia), Hugh Carthy (Great Britain), Markel Beloki Fernandez (Sepanyol) dan Stefan De Bod (Afrika Selatan).
Penampilan keempat-empat pelumba pendaki terbaik ini pastinya menjadi tumpuan dalam perlumbaan LTdL kali ini kerana mereka mempunyai prestasi yang hampir seimbang, sekaligus mampu mengugat misi dua pasukan World Team lain iaitu Astana Qazaqstan Team ( Kazakhstan) dan DMS Firminich PostNL (Belanda).
Carr, 25 tahun kelahiran Hereford setakat tahun ini sudah mengumpul dua kemenangan peringkat di Eropah pada perlumbaan Trofeo Calvia di Sepanyol dan Tour of the Alps, sudah pasti tidak mahu berputih mata untuk mempertahankan jersi hijau yang dimenanginya tahun lalu.
Cepeda (26 tahun) muncul pelumba terbaik keseluruhan pada perlumbaan Tour de I’Ain di Perancis yang berstatus 2.1 Class 1, Julai lalu dan dia juga menghuni tangga kedua keseluruhan di belakang Carr pada saingan LTdL 2023.
Tidak ketinggalan pelumba kelahiran British, Hugh Carthy, 30, yang pernah mengecapi status tangga kedua keseluruhan pelumba di LTdL 2022 dan tangga ketiga keseluruhan Gree Tour of Guangxi 2023.
Chaves (34 tahun), dilabel sebagai pelumba paling berpengalaman dalam pasukan dan sering mencabar untuk kedudukan keseluruhan dengan mempunyai rekod di Giro d ‘Italia sebagai pemenang 3 peringkat dari 2016 hingga 2019 dan menduduki tangga ke-35 keseluruhan pada perlumbaan Giro d ‘Italia tahun ini.
Sekalipun tampil dengan empat pelumba pendaki, strategi keseluruhan pasukan bakal menjadi penentu kejayaan kerana laluan saingan LTdL tahun ini cukup berbeza dengan laluan landai yang lebih panjang dan pendakian seawal peringkat ketiga dari Taiping ke Cameron Highland untuk diharungi 22 pasukan pada edisi ke-28 perlumbaan.
Perlumbaan sejauh 1,190 kilometer tahun ini bakal menyaksikan Pulau Langkawi kembali tersenarai dalam laluan saingan selain dua peringkat buat julung kalinya dilangsungkan di dua bandar di Sarawak – Miri serta Bintulu.