PERLUMBAAN Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 bermula September depan tetap mencabar biarpun tidak melibatkan pendakian ikonik, Genting Highlands dan Cameron Highlands.

Ketua Pegawai Operasi LTdL, Emir Abdul Jalal berkata, laluan perlumbaan kali ini masih bertaraf ProSeries apabila pelumba bakal dipaksa bekerja keras di Bukit Fraser (Peringkat 5) dan Banjaran Titiwangsa (Peringkat 3).

Beliau berkata, pelumba juga akan disajikan saingan sejauh 1,257.8 kilometer (km) merentasi 12 negeri sekali gus menjadi tarikan utama penganjuran edisi ke-29 itu.

“Bukit Fraser pernah digunakan sebagai Queen Stage pada tahun 2008 dan 2015. Walaupun ketinggiannya tidak mencukupi untuk kategori Hors Classe, laluan ini tetap mencabar dan sesuai dikategorikan sebagai pendakian utama.

“Tahun ini, pelumba perlu memiliki kemahiran menurun yang tinggi kerana pendakian ke Bukit Fraser dilakukan dari Bentong, dengan jarak 27 km hingga ke puncak pada ketinggian 1,221 meter.

“Menerusi perubahan laluan ini, saingan akan lebih terbuka dan tidak hanya memihak kepada pendaki tulen.

“Pasukan perlu menyusun strategi dengan rapi kerana laluan menurun yang tajam boleh mencipta jurang masa yang besar,” katanya.

Majlis pelancaran dan memperkenalkan laluan LTdL itu disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Menara KBS, Putrajaya pada Khamis.

Emir menjelaskan bahawa penganjur turut menyasarkan tiga pasukan WorldTeam, tujuh pasukan ProTeam, 11 pasukan Continental, serta satu penampilan pasukan kebangsaan.

“Walaupun tanpa pendakian Genting Highlands, status perlumbaan ini tetap kekal dalam ProSeries.

“Banyak perlumbaan bertaraf tinggi seperti Tour Down Under (Australia) dan UAE Tour juga tidak mempunyai pendakian ekstrem, namun tetap kompetitif bergantung kepada bagaimana laluan direka,” katanya.

Pulau Langkawi akan terus menjadi lokasi permulaan Peringkat 1, manakala penutup tirai akan berakhir di Menara Berkembar Petronas (KLCC), Kuala Lumpur.

Edisi kali ini turut memperkenalkan Padang Besar (Perlis), Medini dan Tangkak (Johor) sebagai venue baharu.

Bagaimanapun, jarak 214.6 kilometer dari Melaka ke Medini pada Peringkat 7 dijangka menjadi laluan penting bagi menentukan juara keseluruhan LTdL 2025.

– Sinar Harian