PUTRAJAYA: Ketiadaan pendakian kategori Hors ke Genting Highlands buat kali kedua berturut-turut pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 sama sekali tidak menjejaskan kehangatan saingan berstatus ProSeries itu.

Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL, Emir Abd Jalal berkata, keputusan itu dibuat berikutan kekangan kelulusan daripada pihak berkuasa serta faktor teknikal yang tidak dapat dielakkan.

“Kami memang mahu mengekalkan Genting Highlands sebagai sebahagian daripada laluan, tetapi disebabkan isu kelulusan dan faktor lain, kami terpaksa mencari alternatif. Bukit Fraser dipilih kerana ia masih menawarkan cabaran besar kepada pelumba,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran dan Pengenalan Laluan LTdL 2025, hari ini.

Pada tahun ini, perlumbaan akan menyaksikan beberapa perubahan laluan termasuk pendakian ke Bukit Fraser, yang terakhir digunakan sebagai ‘Queen’s Stage’ pada 2008 dan 2015.

Laluan ini akan memberikan cabaran unik dengan pendakian sepanjang 27 kilometer (km) dan ketinggian maksimum 1,221 meter (m).

Emir menambah bahawa walaupun ketiadaan Genting Highlands, perlumbaan tetap menjanjikan persaingan sengit dengan variasi cabaran termasuk laluan berbukit dan laluan turun yang mencabar.

Dalam perkembangan lain, penganjur turut mengesahkan penyertaan tiga pasukan World Team, tujuh pasukan ProTeam, sebelas pasukan benua dan satu pasukan kebangsaan.

Keputusan ini dijangka akan menjadikan perlumbaan lebih kompetitif dan terbuka kepada pelbagai strategi taktikal.

Perlumbaan edisi 29 ini berlangsung sejauh 1,257.8km membabitkan lapan peringkat bermula dari Langkawi melalui 12 negeri di semenanjung dan berakhir di Menara Berkembar Petronas (KLCC).

– Buletin TV3