KUALA LUMPUR: Perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang akan membuka tirai September nanti terdapat sedikit perubahan iaitu pertukaran laluan peringkat keempat dari Kuala Kubu Bharu ke Genting Highlands kepada laluan baru Kuala Kubu Bharu ke Bentong sejauh 148.9 kilometer (km).
Menerusi kenyataan rasmi dari Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini, pertukaran itu dilakukan selepas melihat dan mengambil kira pelbagai faktor terutama isu keselamatan dek kerana terdapat kerja-kerja penambahbaikan jalan dan cerun di sepanjang laluan Genting Highlands sepanjang tarikh perlumbaan.
Jelasnya, pemilihan lokasi Kuala Kubu Bharu dan Bentong bertujuan untuk mengekalkan persiapan yang sedang dirangka oleh kedua-dua hos pelepasan dan penamat berkenaan berdasarkan pengumuman laluan yang diumumkan menerusi Majlis Pelancaran Petronas LTdL 2024 pada 18 Mac 2024 lalu.
“Seperti diumumkan sebelum ini, penganjur tetap cuba mengekalkan konsep back-to back mountain climbs untuk peringkat ketiga dan keempat bagi LTdL 2024.
“Peringkat keempat kali ini bakal menyaksikan pelumba perlu memulakan pendakian pada jarak kilometer (km) 20 hingga ke km 40 di Jalan Gap-Bukit Fraser sebelum pendakian ke puncak Bukit Fraser pada ketinggian 1,250 meter (m).
“Peringkat ini bakal menjelmakan cabaran tambahan buat pelumba kerana perlukan percaturan taktikal dan teknikal yang tepat kerana bukan sahaja menuntut kayuhan pendakian hebat, tetapi juga kepakaran menuruni bukit bagi mengumpul jurang masa maksimum untuk mengharungi baki 70 km laluan landai ke Bentong,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, edisi ke-28 LTdL bagi perlumbaan berbasikal paling berprestij di benua Asia ini dijadualkan berlangsung dari 29 September sehingga 6 Oktober 2024 dengan Pulau Langkawi kembali tersenarai dalam laluan perlumbaan.
Selain itu, terdapat dua peringkat perlumbaan buat pertama kalinya bakal dilangsungkan di Sarawak dengan jarak keseluruhan merangkumi 1,227.2 km.
– Harian Metro