BINTULU: Seperti dijangka, pelumba meningkat naik daripada pasukan WorldTeam, Team dsm-firmenich PostNL, Max Poole muncul juara keseluruhan saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang berakhir hari ini.

Pada peringkat kelapan yang mengelilingi bandaraya Bintulu itu, Poole berjaya mengekalkan jersi hijau sejak peringkat ketiga dari Taiping ke Cameron meskipun menduduki tempat ke-35.

Lebih menarik, Poole turut mencatat sejarah perlumbaan berstatus 2.Pro itu selaku juara keseluruhan termuda pada usia 21 tahun sekali gus mengatasi rekod terdahulu dicipta pelumba Venezuela, Yonathan Monsalve yang berumur 22 tahun ketika bergelar juara edisi 2011.

Bukan itu sahaja, Poole juga menjadi pelumba kedua dari Britain merangkul gelaran juara keseluruhan dengan mencatat masa 26 jam 27 minit 44 saat (s) sepanjang lapan peringkat dan mengetepikan pencabar terdekat dari JCL Team UKYO, Thomas Pesenti.

Poole yang bersaing dalam siri Grand Tour dan Vuelta Espana tahun ini mengakui, ia adalah penamat yang sempurna meskipun prestasi selepas menang peringkat ketiga minggu ini di Cameron Highlands agak merudum.

“Secara peribadi, saya sedikit terkilan prestasi saya semakin menurun apabila kami kehilangan seorang pelumba (Johan Dorussen).

“Jadi susah sedikit pasukan hendak melakar percaturan. Apa yang pasti, pujian wajar diberikan kepada yang semua melakukan tugasan masing-masing dengan baik,” katanya selepas tamat perlumbaan.

Sementara itu, jaguh JCL Team UKYO, Matteo Malucelli yang muncul juara peringkat terakhir selepas mencatat tiga jam tujuh minit dan 58s untuk mengetepikan pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn dan wakil Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa melengkapkan podium.

Kejayaan Malucelli yang muncul juara peringkat buat kali ketiga pada edisi ke-28 ini memastikan dia merampas jersi jingga selaku Raja Pecut dengan mengumpul 80 mata untuk mengatasi De Kleijn dan Syritsa.

Pelumba BH-Burgos, Mario Aparicio pula membawa pulang jersi polka dot selaku Raja Bukit dan Manabu Ishibashi dari JCL Team UKYO merangkul Jersi Putih sebagai pelumba terbaik Asia.

Bagi kategori pasukan terbaik menjadi milik Equipo Kern Pharma selepas mencatat 79:24:12s dengan mengetepikan pasukan berstatus WorldTeam, Astana Qazaqstan Team.

– KOSMO