KETUA Pegawai Operasi Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024, Emir Abdul Jalal memberi jaminan pihaknya sudah merangka ‘pelan B’ andai perkara yang tidak dijangka berlaku sepanjang saingan yang membuka tirainya esok hingga 6 Oktober depan.

Kata Emir, pihak penganjur sudah menyiapkan pelan kontingensi dan sentiasa peka sekiranya berlaku perkara tidak diingini sepanjang laluan perlumbaan terutama situasi cuaca yang tidak menentu ketika ini.

“Kalau dari segi cuaca, hujan atau panas kita tetap akan berkayuh. Cuma jika ada banjir atau tanah runtuh kita ada persiapan lain.

“Seperti di Cameron Highlands, kami sudah memeriksa dengan pihak di sana. Untuk kejadian tanah runtuh terjadi di sana amat minimum,” katanya ketika ditemui di Langkawi semalam.

Sementara itu, Emir turut berpuas hati dengan komitmen pihak berkuasa tempatan selepas proses penurapan semula sebahagian jalan membabitkan laluan Peringkat 1 di sekitar Langkawi esok sudah siap sepenuhnya.

Jelasnya, perlumbaan peringkat permulaan yang akan bermula di Kuah sebelum mengelilingi pulau legenda itu sudah bersedia menerima kayuhan pelepasan 22 pasukan bertanding esok.

“Dari aspek persiapan, kita dah 100 peratus bersedia, cuma tempoh hari ada isu laluan seperti di Jalan Teluk Yu, namun semalam kita lihat ia telah diturap.

“Saya rasa laluan (Peringkat 1) semua dah cantik berbanding kita recce (pantau) sebelum ini. Terima kasih diucapkan kepada pihak berwajib seperti Jabatan Kerja Raya di sini.

“Malah, laluan di sini (Langkawi) kini juga sudah bertambah baik berbanding tahun-tahun lalu,” katanya.

Sebanyak 22 pasukan menyertai perlumbaan berstatus ProSeries (2.Pro) dengan jarak keseluruhan 1,190 kilometer dan buat kali pertamanya turut memasuki Miri dan Bintulu di Sarawak.

– Kosmo