BUTTERWORTH: Skuad berbasikal kebangsaan berdepan detik cemas apabila pelumbanya, Elmi Jumari terbabit dalam kemalangan beramai-ramai ketika 100 meter (m) menuju garisan penamat Peringkat Kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dari Arau ke Butterworth, hari ini.
Ketua jurulatih, Yusof Nasir berkata, keadaan anak buahnya itu sangat membimbangkan dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Kami mungkin kehilangan satu-satunya pakar pecut dalam pasukan,” kata Yusof selepas tamat perlumbaan sejauh 154.4 kilometer (km) itu.
Walaupun situasi itu mengganggu perancangan, Yusof optimis pasukannya masih mampu meraih keputusan baik dalam perlumbaan seterusnya.
Kejadian berlaku ketika setiap pasukan mula membuat percaturan melepaskan pakar pecut masing-masing bagi memburu kejuaraan, namun juara menjadi milik pelumba JCL Team UKYO, Matteo Malucelli.
“Staf pasukan beritahu keadaannya membimbangkan dan kami berkemungkinan akan kehilangannya untuk peringkat perlumbaan seterusnya.
“Saya akan ke hospital untuk mendapatkan sendiri perkembangan keadaannya. Sedikit sebanyak akan mengganggu perancangan pasukan, tapi masih boleh diperbaiki dan pasukan Malaysia masih boleh hasilkan keputusan yang baik.
“Cuma kami perlu berusaha lagi untuk peringkat seterusnya,” kata Yusof yang juga bekas pelumba kebangsaan.
– Harian Metro