KULAI: Jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dianggap cukup mencabar dengan saingan yang diberikan oleh pasukan elit luar negara begitu agresif.
Pandangan tersebut disuarakan oleh jurulatih skuad berbasikal kebangsaan, Mohd Yusof Nasir yang melihat pesaing dari luar sangat hebat dan terdesak mahukan kemenangan.
Kata Mohd. Yusof, situasi itu menyebabkan pasukan dari Asia terpaksa bermandi peluh yang ada untuk menyaingi mereka.
“Macam hari ini, pasukan EF Education EasyPost nk cari kemenangan sebenarnya tapi kilometer terakhir tu kalah juga dengan VF Group Bardiani CSF Faizane.
“Bila mereka dahagakan kemenangan, perlumbaan jadi terlalu laju.
“Kami sebagai pasukan Asia cuba juga nak dapatkan posisi terbaik tapi dalam masa sama semua agak bergelut,” katanya selepas perlumbaan peringkat keenam hari ini.
Peringkat ketujuh saingan LTdL 2024 hari ini akan bermula di Miri, Sarawak ke Bintulu merangkumi jarak keseluruhan 199.3 km dengan tiga zon pecutan dan satu zon pendakian.
– KOSMO