BUTTERWORTH: Penamat beramai-ramai dan laluan sempit menuju ke garisan penamat tidak menghalang pelumba JCL Team UKYO, Matteo Malucelli mencelah untuk muncul juara peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dari Arau ke Butterworth sejauh 154 kilometer (km), hari ini.

Malucelli mengetepikan beberapa pakar pecut dari pasukan WorldTeam dan ProTeam untuk tiba terlebih dahulu di garisan penamat yang turut dibayangi kemalangan membabitkan ramai pelumba pada 50 meter (m) terakhir.

Pelumba berusia 31 tahun itu yang juga juara keseluruhan Tour Bulgaria tahun ini melintasi garisan penamat dengan catatan tiga jam 34 minit 58 saat (s), untuk mengetepikan wakil Team Polti Kometa, Manuel Penalver dan pelumba sensasi tahun lalu dari Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn.

Menurut pelumba kelahiran Itali itu, ia adalah penamat yang sengit sehingga komisar membuat keputusan melalui photo finish sebelum memutuskan dia sebagai juara bagi peringkat kedua itu.

“Saya masih tidak percaya dapat memenangi peringkat ini. Ini kali pertama saya memenangi perlumbaan berstatus 2.Pro dan ia adalah saat yang indah.

“Saya belum memahami bagaimana hendak meluahkan kemenangan ini,” katanya yang juga seorang pakar pecut.

Ujar Malucelli, pada 200m terakhir dia melihat ada ruang terbuka dan nekad untuk melakukan henjutan, sekali gus berjaya melakar sejarah buat dirinya serta pasukan.

“Kami berada dalam keadaan baik untuk mengharungi perlumbaan ini terutama buat rakan tiga rakan sepasukan saya dari Jepun.

“Kami sangat berharap dapat memenangi saingan di sini kerana penting untuk memperbaiki ranking pasukan,” katanya.

Sementara itu, jersi hijau bagi pendahulu keseluruhan kekal menjadi milik pelumba pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa (5:39:23s), diikuti Malucelli kurang 0:02s, manakala pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Aiman Rosli di kedudukan ketiga (0:04s).

Syritsa turut mengekalkan jersi jingga (Raja Pecut) selepas mengumpul 23 mata, diikuti Malucelli (22) dan Penalver (17).

Aiman pula mengekalkan jersi putih selaku pelumba terbaik Asia dengan masa 5:39.27s, meninggalkan Ng Pak Hang (HKSI Pro Cycling) kurang 0:01s dan Yusri Shaari dari pasukan kebangsaan (0:05s).

Perlumbaan peringkat ketiga akan bersambung esok dari Taiping ke Cameron Highlands dengan jarak 175.7km dengan merangkumi tiga zon pecutan di Kuala Kangsar, Sungai Siput dan Ipoh, selain tiga zon pendakian (Kuala Kangsar, Kampung Raja dan Berinchang).

– Harian Metro