BUTTERWORTH: Harrif Saleh kecewa, Nur Aiman Rosli gembira. Itulah dua situasi berbeza menimpa pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) selepas berakhirnya perlumbaan peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dari Arau ke Butterworth sejauh 154.5 kilometer (km) hari ini.

Harrif yang terkenal dengan gelaran ‘Mamat’ terpaksa menelan kekecewaan terlepas peluang untuk sekurang-kurangnya menaiki podium apabila dihalang untuk mara ke depan ketika penamat beramai-ramai dan hanya berpuas hati di tempat ketujuh.

Menurut pelumba yang memegang rekod beraksi paling banyak di LTdL iaitu sebanyak 15 kali itu, dia berada dalam keadaan terbaik untuk melakukan henjutan luar biasa bagi mencabar pakar pecut lain.

“Saya berada dalam keadaan ‘segar’, namun ruang pada 50 meter (m) terakhir ditutup oleh pelumba Bardiani (VF Group Bardiani CSF Faizane), ia membuatkan pecutan saya ‘mati’,” katanya selepas tamat perlumbaan.

Ujar pelumba berusia 36 tahun itu, dia sudah berada di depan dan sedikit tersepit, namun semuanya hancur tatkala podium diungguli pelumba JCL Team UKYO, Matteo Malucelli (juara), Manuel Penalver dari Team Polti Kometa dan tonggak Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn (ketiga).

“Kalau tidak tersepit sudah tentu podium kerana kelajuan saya sudah ‘datang’.

“Ketika itu Aiman (Nur Aiman Rosli) menarik saya sebelum dia terjatuh dalam kemalangan beramai-ramai,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Sukan TSG, Saiful Anuar Aziz berkata, mereka memang mahu mengekalkan jersi putih (Terbaik Asia) yang disarung Aiman pada peringkat pertama dan ia ternyata menjadi kenyataan, hari ini.

“Aiman cuba buat terbaik dari peringkat awal pemecahan, kalau ikut kiraan dia berjaya mengekalkan jersi putih.

“Apa yang kami mahu adalah untuk dia meraih mata di zon pecutan, sebelum Amirul Fakhruddin Mazuki mengambil alih tugasnya (berada dalam kumpulan pemecahan). ‘Mamat’ pula sedikit tersepit tadi,” katanya.

Tambah Saiful, beliau masih mengharapkan keputusan baik dan Aiman terus mengekalkan prestasi pada peringkat ketiga dari Taiping ke Cameron Highlands, hari ini, seterusnya mengekalkan jersi putih.

– Harian Metro