MERU: Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia, Mohd Yusof Nasir menyifatkan barisan pelumbanya di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 adalah antara yang terbaik pernah dikemudinya.
Pasukan kali ini disertai empat bekas pelumba Sapura Cycling (TSC), Mohamad Izzat Hilmi Muhsin Al Redha Misbah, Muhammad Nur Aiman Rosli dan Muhammad Zawawi Azman serta dua lagi pelumba berkemampuan, Muhammad Shaiful Adlan dan Zulhelmi Zainal.
Kesemua pelumbanya menunjukkan tahap persaingan tinggi sejak hari pertama LTdL berlangsung di Terengganu untuk bersaing dengan pelumba pasukan WorldTeam dan ProTeam yang nyata jauh lebih baik daripada mereka.
“Mereka ini masih muda dan tahun ini, mereka antara skuad terbaik yang pernah saya miliki dan mereka mempunyai kemampuan,” kata Yusof yang akan bertemu pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk membincangkan hala tuju barisan pelumbanya di masa akan datang.
Pada Peringkat 1 LTdL 2023 dari Kerteh ke Kuala Terengganu minggu lalu, pasukan kendalian Yusof membuktikan yang mereka bukanlah sebagai pelengkap.
Pelumbanya, Izzat Hilmi berjaya menamatkan perlumbaan sejauh 187.4 kilometer (km) itu di tempat keempat sekali gus Malaysia muncul sebagai pasukan terbaik keseluruhan (peringkat) dan pasukan terbaik Asia.
Aiman turut berjaya menamatkan Peringkat 3 dari Jeli ke Baling sejauh 183.1km di tempat keenam selain turut menyambar Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia.
“Saya akan cuba berbincang dengan pihak atasan MSN dan PKBM untuk sama-sama duduk berbincang. Kita tak nak berlaku sesuatu pada masa depan… kita buat pasukan untuk LTdL dan selepas itu, kita tak ada pelumba lagi.
“Saya harap MSN dan PKBM dapat buat sesuatu untuk mereka ini supaya semua pelumba ini terus berkayuh dan menyarung jersi Malaysia. Saya nak bawa keputusan ini ke atas untuk membincangkan mengenai pelumba ini,” kata Yusof.
Meskipun begitu, Yusof berkata, dia tidak mempunyai masalah sekiranya ada di kalangan pelumbanya ini disunting pasukan profesional yang lain dan baginya, ia bagus demi kelangsungan karier pelumbanya.
– Berita Harian