SHAH ALAM: Pelumba EF Education-EasyPost, Simon Carr kini hanya sebelah kaki untuk muncul sebagai juara keseluruhan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang akan melabuhkan tirainya di Menara Berkembar PETRONAS, esok.
Di atas kertas, Carr yang memenangi Peringkat 5 dari Slim River ke Genting Highlands pada Rabu lalu tampak selesa apabila mendahului carta Jersi Hijau dengan 26 jam 5 minit dan 14 saat (s) manakala rakan sepasukannya, Jefferson Alexander Cepeda di kedudukan kedua, 26:06:03 (s).
Mengekori rapat kedua-dua pelumba ini adalah Equipo Kern Pharma, Pablo Castrillo dengan catatan 26:06:12s.
Pakar pendakian, Carr yang menamatkan Peringkat 7 dari Muar ke Seremban 2 di tempat ke-29 semalam berkata, dia hanya perlu mengekalkan rentak kayuhan selamat bagi membolehkan pasukan berstatus WorldTeam itu dapat meraikan kejayaan diinginkan.
“Saya sebenarnya tidak sabar untuk menyelesaikan perlumbaan ini tetapi ia masih belum berakhir. Saya hanya mahu kekal fokus dan saya rasa ketika ini kami melakukannya dengan sangat baik setiap hari.
“Saya cukup yakin untuk menamatkan perlumbaan esok. Perkara paling penting ialah kekal selamat dan tidak ketinggalan masa,” kata Carr.
Pelumba berusia 25 tahun yang sudah merekodkan empat kemenangan peringkat antaranya di Tour de Alps dan La Route d’Occitanie-La Depeche du Midi musim ini turut berkata, perlumbaan semalam agak mudah buat mereka.
“Sudah tentu hari yang lebih mudah buat kami, ditambah dengan usaha dan juga sentiasa kekal selamat,” katanya.
Musim lalu, EF Education-EasyPost dikecewakan Movistar Team apabila Ivan Sosa berjaya muncul sebagai juara keseluruhan manakala pelumba pasukan mereka ketika itu, Hugh Carthy ketinggalan 23s untuk menduduki tempat kedua.
Peringkat 8 bakal berlangsung dari Setia Alam ke Kuala Lumpur sejauh 156.5km, membabitkan tiga zon pecutan di Kapar, Sungai Buloh dan Paya Jaras selain dua zon pendakian di Puncak Alam dan Meru.
– Berita Harian