KUALA LUMPUR: Bahang kehangatan perlumbaan jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang akan membuka tirai Sabtu ini kian terasa, apabila beberapa pasukan membuat pertukaran pelumba di saat akhir dalam usaha mencongak strategi.
Ketua Pegawai Operasi LTdL, Emir Abdul Jalal berkata, antara yang berbuat demikian adalah dua pasukan berstatus WorldTeam, EF Education-Easypost dari Amerika Syarikat (AS) dan Astana Qazaqstan Team dari Kazakhstan.
“Astana membuat pertukaran pelumba membabitkan Michelle Gazzoli yang digantikan dengan Leonardo Basso, sementara EF Education membabitkan pertukaran pelumba Jerman, Georg Steinhauser kepada pelumba berkaliber Norway, Odd Christian Eiking.
“Eiking sangat popular pada 2021 apabila beliau memegang jersi merah Vuelta a Espana selama tujuh peringkat dari peringkat ke-10 hingga ke-16 iaitu satu pencapaian yang luar biasa bagi seorang pelumba, jadi dia antara nama besar buat LTdL tahun ini,” katanya.
Menurut Emir, pihaknya berdepan masalah dari sudut pengurusan logistik susulan pertukaran itu, namun tidak mempunyai pilihan kerana menurut peraturan sedia ada, pasukan bertanding berhak melakukan pertukaran 72 jam sebelum mesyuarat pengurus bersidang, esok.
“Apa yang saya nampak, ini lebih kepada strategi mereka untuk memberikan saingan pada perlumbaan LTdL.
“Saya tak dengar pun Georg Steinhauser atau Michele Gazzoli terlibat dalam kecederaan,” katanya.
LTdL 2023 dari 23 hingga 30 September menampilkan 22 pasukan mengambil bahagian diketuai Astana dan EF Education, manakala Euskaltel-Euskadi antara lapan pasukan ProTeam selain 11 pasukan Continental termasuk Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dan skuad kebangsaan.
Edisi kali ini menyaksikan laluan membabitkan 11 negeri dengan Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu (184.4 kilometer ((km); Peringkat 2 Kuala Terengganu-Kota Bharu (186.2km); Peringkat 3 Jeli-Baling (177.1km); Peringkat 4 Bukit Mertajam-Meru Raya (140km); Peringkat 5 Slim River-Genting Highlands (133.3km); Peringkat 6 Karak-Melaka (176.6km); Peringkat 7 Muar-Seremban 2 (125.7km) dan Peringkat 8 Setia Alam-Kuala Lumpur (157km).
– Harian Metro