MELAKA: Pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn menambah koleksi kemenangan peringkat di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 apabila menawan Peringkat 6 dari Karak ke Melaka, hari ini.
De Kleijn atau dikenali dengan gelaran ‘Little Gorilla’ menamatkan perlumbaan sejauh 174.5 kilometer (km) itu secara penamat beramai-ramai dengan catatan empat jam lapan minit 19 saat (s).
Sebelum ini, pakar pecut dari Belanda itu berjaya menawan Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu pada Sabtu dan kemenangan di Melaka menambah koleksi kemenangan peringkatnya kepada 11 dalam kariernya.
Penamat kedua diraih pelumba Human Powered Health, Sasha Weemaes manakala wakil Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa berada di tempat ketiga.
“Kemenangan yang sangat luar biasa dan ia dibantu hasil kerja keras rakan sepasukan saya,” kata De Kleijn. “Pada mulanya, kami sedikit bergelut di hadapan tetapi kami berjaya meningkatkan kelajuan pada penghujung perlumbaan.
“Tentunya ia sesuatu yang menggembirakan. Apapun, kami akan lakukan seperti ini pada dua lagi baki perlumbaan nanti.”
Dalam pada itu, Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan masih kekal dan disandang pelumba EF Education-Easypost, Simon Carr dengan catatan 23:33:29s manakala rakan sepasukannya, Jefferson Alexander Cepeda ketinggalan 0.49s di tempat kedua.
Mengekori kedua-dua pelumba itu adalah pelumba Equipo Kern Pharma, Pablo Castrillo di tempat ketiga.
De Kleijn masih menyarung Jersi Jingga bagi Raja Pecut selepas mengumpul 45 mata, diikuti Enrico Zanoncello (Green Project-Bardiani CSF-Faizane) 36 mata dan Syritsa di kedudukan ketiga (34 mata).
Rakan sepasukannya, Simon Pellaud pula masih kekal dengan Jersi Polka Dot bagi Raja Bukit selepas mengumpul 32 mata diikuti Carr 20 mata dan Castrillo 13 mata.
Jersi Putih bagi pelumba terbaik Asia masih disarung pelumba Astana Qazaqstan Team, Vadim Pronskiy selepas mengumpul catatan masa 23:34.44s, diikuti pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Jambaljamts Sainbayar (23:36.51s), manakala wakil Roojai Online Insurance, Ariya Phounsavath di kedudukan ketiga (23:39.33s).
Perlumbaan Peringkat 7 dijadual berlangsung dari Muar ke Seremban 2 sejauh 123.8km, membabitkan hanya tiga zon pecutan iaitu di Umbai, Cheng dan Linggi.
– Berita Harian