GENTING HIGHLANDS: Pelumba pasukan EF Education-Easypost, Simon Carr mendedikasikan kemenangan Peringkat 5 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dari Slim River ke Genting Highlands hari ini buat mendiang datuknya, Tony Carr.
Simon yang menjadi pelumba pertama menemui garisan penamat bagi peringkat dikenali sebagai ‘Queen Stage’ itu berkata, dia memperoleh motivasi untuk memburu kemenangan selepas datuknya yang menjadi peminat nombor satunya meninggal dunia, Isnin lalu.
Pelumba berusia 25 tahun dari Great Britain itu menamatkan perlumbaan dengan catatan tiga jam 24 minit 6 saat (s) manakala rakan sepasukannya, Jefferson Alexander Cepeda ketinggalan 0:39s untuk berada di tempat kedua.
Melengkapkan pentas podium adalah pelumba Sepanyol yang mewakili Equipo Kern Pharma, Pablo Castrillo, 0:48s di belakang Carr.
“Jelas perlumbaan hari ini agak sukar tetapi kami mengekalkan kelajuan tinggi dari mula pendakian dan kami beraksi dengan cukup cemerlang.
“Bagi saya kemenangan ini amat bermakna bukan hanya kerana saya memenangi perlumbaan tetapi sebenarnya saya sangat bermotivasi untuk menang kerana datuk saya (Tony Carr) baru sahaja meninggal dunia Isnin lalu.
“Dia adalah peminat nombor satu saya dan saya benar-benar mahu memenangi perlumbaan ini untuknya,” kata Carr yang merekodkan kemenangan peringkat ketiganya bagi musim ini.
Untuk rekod, sebelum ini, pakar pendakian itu meraih kemenangan di Peringkat 4 La Route d’Occitanie-La Depeche du Midi dan Peringkat 5 Tour of the Alps.
Kemenangan itu menyaksikan Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan turut berubah tangan kepada Carr dengan catatan 19:25:10s manakala Cepeda di kedudukan kedua (19:25:592s) dan Castrillo ketiga (19:26:08s).
Dalam pada itu, pelumba Tudor Pro Cycling Team, Simon Pellaud mengekalkan Jersi Polka Dot (Raja Bukit) dengan mengumpul 32 mata, diekori Carr (20 mata) dan tempat ketiga Castrillo (13 mata).
Rakan sepasukan Pellaud, Arvid De Kleijn mengungguli Jersi Jingga (Raja Pecut) selepas mengumpul 30 mata, diikuti Enrico Zanoncello (Green Project-Bardiani CSF-Faizane) 29 mata dan pelumba Bolton Equities Black Spoke, George Jackson di tempat ketiga (27 mata).
Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia pula bertukar tangan kepada Vadim Pronskiy dari pasukan Astana Qazaqstan Team manakala pelumba Terengganu Polygon Cycling Team, Jambaljamts Sainbayar di kedudukan kedua dan Yongbing Gao (Hengxiang Cycling Team), ketiga.
Esok perlumbaan Peringkat 6 dijadual berlangsung dari Karak ke Melaka sejauh 174.5 kilometer (km), membabitkan tiga zon pecutan di Pelangai, Batu Kikir dan Kuala Pilah selain dua zon pendakian di Gapoi dan Luak Inas.
– Berita Harian