BENTONG: Selepas bergelut di ‘Queen Stage’ semalam di Cameron Highlands, pakar pecut kembali menyambung perseteruan mereka di peringkat keempat Le Tour de Langkawi (LTdL) dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong sejauh 131.2 kilometer (km) yang menyaksikan pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn muncul juara.

Pelumba yang terkenal dengan gelaran ‘Little Gorilla’ itu tiba terlebih dahulu di garisan penamat dengan catatan masa dua jam 53 minit 37 saat (s), mengetepikan juara peringkat kedua, Matteo Malucelli dari JCL Team UKYO.

Tempat ketiga pula diisi oleh pelumba Team Polti Kometa, Manuel Penalver dalam penamat beramai-ramai ketika cuaca mendung.

Menurut pelumba berusia 30 tahun itu, mereka berusaha keras untuk mengejar enam pelumba yang melakukan ‘breakaway’ dan akhirnya berjaya melakukannya 300 meter menuju ke garisan penamat.

“Agak sukar juga hari ini buat pelumba pecut kerana ada pendakian (KOM 1 GAP) namun semua pelumba (kumpulan pengejar) melakukan tugas dengan baik menangkap kumpulan breakaway dan saya hanya fokus melakukan pecutan.

“Ia adalah kemenangan yang baik buat saya selepas dua peringkat awal sebelum ini melakukan kesilapan. Ia satu pembelajaran berguna terutama dalam pecutan laju. Banyak lagi perlu saya buru dan bersedia untuk melakukannya selepas ini,” katanya yang merangkul kemenangan ke-10 bersama Tudor.

Bagaimanapun, jersi hijau selaku pendahulu keseluruhan kekal menjadi milik pelumba Team dsm-firmenich PostNL, Max Poole (12:57:35s) selepas menawan Cameron Highlands semalam, diikuti Thomas Pesenti dari JCL Team UKYO (0:06s).

Walaupun hanya berpuas hati di tempat kedua hari ini, Malucelli masih mempertahankan jersi jingga selaku Raja Pecut dengan mengumpul 34 mata, diikuti De Kleijn (30 mata) dan pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa (26 mata).

Sementara itu, pelumba Burgos – BH, Mario Aparicio yang menawan zon pendakian Kat 1 di GAP, berjaya merampas jersi polka dot daripada Poole selepas mengumpul 20 mata.

Pelumba JCL Team UKYO, Manabu Ishibashi mengekalkan jersi putih (Terbaik Asia) dengan masa keseluruhan 12:59:44s, meninggalkan rakan sepasukan, Yuma Koishi (2:41s) dan ketiga diisi pelumba Aisan Racing Team, Keigo Kusaba (2:45s).

Perlumbaan peringkat kelima akan berlangsung dari ibu negara, Kuala Lumpur ke Melaka dengan jarak perlumbaan sejauh 167.3km.

– Harian Metro