BENTONG – Mohamad Nur Aiman Mohd. Zariff masih mampu menjelmakan keceriaan buat peminat berbasikal negara apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-25 dengan catatan dua jam 53 minit 37 saat (s) pada saingan Peringkat 4 PETRONAS Le Tour de Langkawi dari Kuala Kubu Bharu ke Datang Bentong hari ini.

Malah, pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu yang ditabalkan selaku Raja Pecut LTdL 2020 dan 2022 boleh mendabik dada apabila muncul pelumba terbaik Malaysia pada Peringkat 4.

“Secara peribadi, saya amat berpuas hati dengan keputusan hari ini. Esok ada lagi peringkat pendakian dan saya akan cuba mendapatkan keputusan yang baik buat pasukan dan negarq,” kata Aiman.

Ketika diminta mengulas situasi yang berlaku pada penghujung perlumbaan Peringkat 4 itu, Aiman memberitahu: “Pelumba EF Education-EasyPost (Stefan De Bod) sangat agresif, mungkin dia mahu naikkan kedudukan keseluruhan pasukannya.

“Situasi itu menyebabkan perlumbaan sangat laju. Namun, mereka yang melakukan breakaway berjaya ‘ditangkap’ 600 meter menuju garisan penamat,” jelas Aiman yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-27 pada Selasa.

Disebalik kejayaan, Aiman, lima pelumba Malaysia terpaksa melupakan perjuangan mereka pada baki empat peringkat perlumbaan LTdL 2024 selepas gagal menamatkan saingan Peringkat 4 dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong dalam masa ditetapkan.

Pakar pecut yang juga tonggak berpengalaman Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh antara lima pelumba terbabit selain seorang pelumba skuad kebangsaan Malaysia, Azim Aliyas.

Turut menimpa nasib sama ialah dua pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Muhammad Fahmi Khairul dan Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil serta seorang pelumba Nusantara Cycling Team, Zulhelmi Zainal.

Seramai 14 pelumba lagi turut gagal menamatkan perlumbaan dalam masa ditetapkan termasuklah juara edisi 2023, Simon Carr yang mewakili pasukan berpangkalan di Amerika Syarikat, EF Education-EasyPost.

Pada perlumbaan sejauh 131.2 kilometer (km) yang menyajikan tiga zon pecutan dan satu zon pendakian di GAP itu juga menyaksikan pelumba HKSI Pro Cycling Team, Ng Pak Hang gagal menamatkan perlumbaan.