PUTRAJAYA: Majlis Sukan Negara (MSN) yang bertindak sebagai penganjur perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 memberi jaminan saingan tahun ini tetap menarik biarpun tanpa penyertaan destinasi ikonik Pulau Langkawi.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail menyifatkan ketiadaan Langkawi dalam perlumbaan LTdL bukan pelik kerana ia pernah digugurkan selama tiga edisi bermula pada 2016 sehingga 2018.

Ia susulan penganjuran di pulau itu akan menelan kos yang besar tatkala mereka hanya diberikan peruntukkan RM8 juta bagi edisi kali ini.

Jumlah tersebut dianggap kecil berbanding kos penganjuran edisi sebelum ini yang menelan belanja sekitar RM14 hingga RM17 juta.

“Kali ini 11 negeri di semenanjung terlibat kecuali Perlis. Kalau buat di Langkawi, kos cukup tinggi, namun nama (Langkawi) tetap ada.

“Dalam pada itu, laluannya juga tidak terlalu selesa untuk anjurkan perlumbaan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Le Tour de Langkawi di Menara KBS, Putrajaya semalam.

Pelancaran disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. Turut hadir timbalannya, Adam Adli Abdul Halim; Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr. Nagulendran Kangayatka­rasu dan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abdul Wahab.

Kata Hannah, KBS telah menarik perhatian beberapa pihak korporat, termasuk bekerjasama daripada kerajaan negeri untuk memastikan perlumbaan tahun ini tetap meriah.

“Dengan kos RM8 juta, kita cuba sebaiknya untuk libatkan sebanyak mungkin negeri kali ini. Sebab itu kita memohon Menteri Besar setiap negeri untuk mereka bantu bersama.

“Jumlah tepat belum ada tetapi sekarang Terengganu sedang mendahului dan kita akan bekerja berdasarkan peruntukan tersebut. Bukan setakat negeri, saya juga sudah cakap dengan syarikat korporat,” jelas Hannah.

– UTUSAN